Home Ekonomi TH perkenalkan aplikasi JomPAY, permudah urusan perbankan

TH perkenalkan aplikasi JomPAY, permudah urusan perbankan

Lembaga Tabung Haji (TH) mengingatkan 14,306 bakal jemaah haji tahun ini supaya memberi maklum balas terhadap surat tawaran tunai haji dalam tempoh tujuh hari bekerja dari tarikh surat berkenaan dikeluarkan.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan kemudahan pemindahan dana dalam talian yang dikenali sebagai JomPAY.

Melalui aplikasi ini, para pendeposit boleh membuat urusan pemindahan dana secara dalam talian ke dalam akaun simpanan TH pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Menurut Pengarah Eksekutif Operasi TH, Tuan Mustakim Mohamad, agensi itu sentiasa berusaha untuk menambah baik perkhidmatan digital kepada para pendepositnya dan dengan pengenalan kemudahan JomPAY, urusan para pendeposit dapat dijalankan dengan lebih mudah.

“Para pendeposit dapat memindahkan dana daripada akaun simpanan atau semasa bank mereka ke akaun simpanan TH melalui platform perbankan internet yang sedia ada.

“Tambahan pula, para pendeposit tidak perlu membuat sebarang pendaftaran untuk menggunakan kemudahan ini dan ia adalah percuma,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumlah transaksi pendeposit yang menggunakan kemudahan perbankan internet serta pelbagai saluran dalam talian meningkat hampir 80 peratus berbanding transaksi yang dilakukan di kaunter.

JomPay Biller Code bagi simpanan TH adalah 60228 dengan 15-digit nombor Akaun Simpanan TH perlu dimasukkan sebagai Ref-1. – MalaysiaGazette