Home Nasional 2020 tahun paling buruk dalam sejarah untuk penerbangan

2020 tahun paling buruk dalam sejarah untuk penerbangan

Penerbangan dalam negeri dan antarabangsa dibatalkan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 27 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Permintaan trafik penumpang syarikat penerbangan antarabangsa mencatatkan penurunan 75.6 peratus pada tahun 2020 berbanding tahun sebelumnya, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Ia berkata keputusan trafik penumpang global untuk 2020 menunjukkan penurunan paling ketara dalam sejarah bagi hasil penumpang setiap kilometer (RPK)  yang menyusut 65.9 peratus berbanding tahun penuh 2019.

“Kapasiti tempat duduk setiap kilometer (ASK) turun  68.1 peratus dan faktor muatan jatuh 19.2 mata peratusan menjadi 62.8 peratus.

“Permintaan domestik pada tahun 2020 merosot 48.8 peratus berbanding 2019. Kapasiti menguncup sebanyak 35.7 peratus dan faktor muatan turun 17 mata peratusan kepada 66.6 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA Alexandre de Juniac berkata: “Tahun lepas merupakan tahun bencana. Tidak ada cara lain untuk menggambarkannya”.

Sementara itu, menurut IATA, unjuran awal untuk tahun 2021 ialah mencatat peningkatan 50.4 peratus ke atas permintaan 2020 yang akan membawa industri ke 50.6 peratus paras tahun 2019.

“Walaupun jangkaan ini tetap tidak berubah, terdapatnya risiko penurunan yang teruk sekiranya sekatan pergerakan lebih ketat dikenakan ekoran kemunculan varian baharu.

“Sekiranya senario seperti ini wujud, peningkatan permintaan mungkin tersekat kepada hanya 13 peratus berbanding paras 2020, menyaksikan industri itu berada pada tahap 38 peratus di paras 2019,” tambahnya.

— BERNAMA