Home Nasional Bicara kes bunuh Zulfarhan dilapangkan hari ini, empat tertuduh jalani kuarantin

Bicara kes bunuh Zulfarhan dilapangkan hari ini, empat tertuduh jalani kuarantin

Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain culpable homicide murder assault abetting abetment guilty NDUM National Defence University of Malaysia
Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes bunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain, yang sepatutnya bersambung hari ini dilapangkan berikutan empat tertuduh dalam kes itu menjalani kuarantin akibat positif COVID-19.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi ketika dihubungi pemberita hari ini berkata perbicaraan kes itu akan bersambung esok (5 Feb).

“Perbicaraan sepatutnya bersambung hari ini, namun dilapangkan kerana keempat-empat tertuduh akan selesai menjalani kuarantin hari ini (4 Feb),” katanya yang turut memaklumkan empat tertuduh kini berada di Penjara Alor Setar, Kedah.

Hari ini juga sepatutnya ditetapkan untuk pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan terhadap saksi pembelaan ke-19, Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh Dr Rohayu Shahar Adnan.

Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mod Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi pada 22 Mei 2017.

Mereka bersama-sama 12 lagi individu iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan turut diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan, untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat UPNM di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi pada 21 Mei 2017.

— BERNAMA