Home Nasional Kanser usus, payudara serang lelaki dan wanita

Kanser usus, payudara serang lelaki dan wanita

Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Lima kanser utama yang menyerang kalangan lelaki di Malaysia ketika ini adalah kanser kolorektal atau usus besar sebanyak 16.9 peratus, kanser paru-paru (14.9), kanser prostat (8.1), kanser limfoma (6.6) dan kanser nasofarinks sebanyak 6.5 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi kalangan wanita, lima kanser utama adalah kanser payudara sebanyak 33.9 peratus, kanser kolorektal (10.7), kanser pangkal rahim (6.7), kanser ovari dan kanser paru-paru masing-masing sebanyak 5.6 peratus.

Jelas beliau, statistik yang menggusarkan itu menunjukkan sebanyak 63.7 peratus daripada semua kanser dikesan di Malaysia pada tahap lewat iaitu tiga dan empat.

“Ia menjadikan rawatan lebih sukar dan mahal.

“Oleh demikian pengesanan awal dan rawatan cepat dan berkesan  boleh memberi peluang yang baik kepada pesakit untuk sembuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan  Upacara Pelancaran dan Webinar Hari Kanser Sedunia 2021 secara langsung di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, kajian juga menunjukkan sebanyak 30 peratus hingga 50 peratus daripada kanser boleh dicegah dengan amalan gaya hidup yang sihat.

Oleh yang demikian ujar beliau, KKM ingin mengajak masyarakat agar mengamalkan gaya hidup yang sihat.

“Saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk yang pertama menjadikan pencegahan kanser sebagai salah satu agenda utama dalam kehidupan seharian.

“Yang kedua menjalani ujian saringan kanser yang telah disediakan.

“Yang ketiga sekiranya dikesan menghidap kanser segera dapatkan rawatan di hospital dan keempat amalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Mengulas  sambutan Hari Kanser Sedunia hari ini, Dr Noor Hisham berkata, ia bertujuan mengajak orang ramai untuk sama menyokong dan sama-sama mengambil bahagian dalam usaha mencegah dan mengawal penyakit kanser serta kesan negative yang diakibat olehnya,

Tambah beliau, seperti semua sedia maklum,  kanser adalah penyakit yang digeruni oleh masyarakat

Jelasnya, menurut Health Fact yang diterbitkan KKM, pada 2018, kanser menjadi penyebab utama kematian di hospital-hopsital swasta sebanyak 33.1 peratus dan keempat utama di hospital dengan 11.8 peratus.

“Hari Kanser Sedunia hari ini mengekalkan tema ‘I Am dan I Will’ bagi mengatakan sokongan dan komitmen saya kepada sambutan kali ini.

“Pada tahun ini selari dengan normal baharu, sambutan Hari Kanser Sedunia dengan penganjuran yang pertama Larian Virtual yang berlangsung dari 15 Januari lalu hingga 28 Februari ini.

“Webinar secara maya pada hari ini iaitu 4 Februari 2021 dan ketiga adalah Selfie Lavender Cancer Awareness Challenge sepanjang bulan Februari ini,” katanya. – MalaysiaGazette