Home Utama Khairy dilantik Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan

Khairy dilantik Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan

Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri telah bersetuju melantik Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Khairy akan mengetuai satu Pasukan Petugas Khas yang menguruskan pelaksanaan program itu khususnya isu-isu berkaitan
logistik dan penyelarasan dengan negeri-negeri dan agensi-agensi kerajaan.

Jelas beliau, ini bagi membolehkan Kementerian Kesihatan terus menumpukan kepada fungsi-fungsi perkhidmatan kesihatan dalam menangani penularan wabak Covid-19 yang masih menunjukkan trend membimbangkan.

“Vaksin Covid-19 adalah antara sinar harapan kita yang paling utama untuk kita menang dalam perang melawan Covid-19. Kerajaan telah berjaya menempah vaksin Covid-19 dengan penghantaran pertama bekalan vaksin ini dijadualkan tiba di negara kita pada bulan ini.

“Penghantaran pertama vaksin ini melibatkan vaksin keluaran syarikat Pfizer dan BioNTech yang telah menunjukkan kadar keberkesanaan yang tinggi iaitu pada tahap 95 peratus.

“Suka saya memaklumkan bahawa kerajaan akan memulakan roll-out pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mulai hujung bulan ini.

“Kita menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin ini yang akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas mengenai penjelasan terkini mengenai pelaksanaa Proklamasi Darurat dan Pemasyhuran Ordinan Daruart dalam menguruskan pandemik Covid-19 yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen dan media sosial di sini hari ini.

Muhyiddin menambah, program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan melibatkan tiga fasa yang mana fasa pertama akan melibatkan sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan.

Jelas beliau, fasa itu amat penting untuk melindungi petugas barisan hadapan dalam memerangi pandemik Covid -19 yang dijadualkan tamat pada bulan April ini.

Tambahnya, fasa kedua pula akan melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 iaitu warga emas dan golongan rentan iaitu yang berusia 60 tahun ke atas, yang mengalami masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi termasuk golongan orang kelainan upaya (OKU).

“Sebanyak 9.4 juta orang dianggarkan akan menerima vaksin di bawah fasa kedua ini, yang akan berlangsung mulai April hingga Ogos 2021.

“Bagi fasa ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, baki penerima vaksin merupakan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, yang akan bermula dari bulan Mei 2021 hingga Februari 2022.

“Fasa ini penting untuk membentuk perlindungan kelompok atau herd immunity dan seterusnya mengawal pandemik ini secara menyeluruh,” katanya.

Muhyiddin memberitahu, untuk memastikan program ini berjalan dengan lancar, teratur serta memudahkan orang ramai, lebih 600 pusat simpanan yang juga pusat pemberian vaksin akan dibuka di seluruh negara.

Menurutnya, beliau telah mengarahkan pihak berkuasa agar menggunakan pelbagai kemudahan termasuk fasiliti kesihatan awam dan swasta, stadium, pusat konvensyen, dewan orang ramai serta universiti sebagai pusat vaksinasi.

Tegas beliau, peruntukan di dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 akan digunakan oleh kerajaan untuk mengambilalih sementara dewan-dewan dan kemudahan-kemudahan lain bagi tujuan persediaan untuk melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Program ini adalah program vaksinasi terbesar yang pernah dilaksanakan di negara kita. Justeru, saya menyeru dan mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menggembleng tenaga dan segala sumber yang ada bagi menjayakan program ini.

“Anda semua boleh bersama-sama menghulurkan bantuan sama ada dari aspek perubatan dan bukan perubatan, khususnya aspek pendidikan kesihatan di pusat-pusat vaksinasi bagi menjayakan program ini.

“Kerajaan mengalu-alukan penyertaan sukarelawan, mahasiswa dan mahasiswi, pemimpin masyarakat, para agamawan, badan bukan kerajaan, Persatuan Bulan Sabit Merah, St. John’s Ambulance, pihak swasta dan rakyat Malaysia keseluruhan.

“Maklumat lanjut mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan termasuklah mengenai tatacara pendaftaran, lokasi pusat pemberian vaksin serta informasi lain yang berkaitan akan dimaklumkan dalam sedikit masa lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Nak tahu statistics dulu berapa peratus para pesakit Covid-19 yang cepat sembuh selepas disuntik vaksin China, US, dan Europe, boleh telus kan?

Comments are closed.