
KUALA LUMPUR – Kerajaan membenarkan Perayaan Tahun Baru Cina pada 12 dan 13 Februari ini disambut di rumah bersama ahli keluarga dari rumah yang sama sahaja.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat setelah meneliti kesemua aspek serta mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Jelas beliau, aktiviti majlis makan besar bersama keluarga juga hanya dibenarkan di rumah bersama ahli keluarga dari rumah yang sama.
“Upacara sembahyang di tokong adalah tidak dibenarkan kecuali hanya lima orang ahli jawatankuasa tokong sahaja yang dibenarkan. Semua penganut atau masyarakat Cina digalakkan melakukan upacara sembahyang di rumah masing-masing sahaja.
“Aktiviti persembahan dan kebudayaan seperti persembahan tarian singa/tarian naga, perarakan ‘tanglung’, perarakan ‘chingay’ dan persembahan opera Cina atau pertunjukan pentas adalah adalah tidak dibenarkan sama sekali.
“Aktiviti ziarah rumah ke rumah dan rentas daerah serta negeri juga tidak dibenarkan bagi merayakan Tahun Baru Cina,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Ismail Sabri menambah, bagi Sarawak yang masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, prosuder operasi standard (SOP) perayaan Tahun Baru Cina akan diumumkan kerajaan negeri. – MalaysiaGazette
Aman skit tahun ni , lau tak memokak je…