Home Sukan 6,000 jersi Home 2021 Selangor laris terjual

6,000 jersi Home 2021 Selangor laris terjual

Jersi Home 2021 Selangor.

KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) mengumumkan sebanyak 6,000 helai jersi Home 2021 sudah habis dijual kurang dari tempoh 48 jam sejak dilancarkan secara rasmi pada 1 Februari lepas.

Mereka merupakan pasukan pertama Liga Malaysia yang melancarkan jersi bagi menghadapai musim 2021.

Rekaan jersi itu diinspirasikan daripada pasukan Merah Kuning sewaktu menjulang kejuaraan Piala Malaysia pada tahun 1986 itu.

“Selain menerima komen-komen positif di laman sosial, jersi retro bertemakan “Legasi Mokhtar Dahari” ini juga mendapat perhatian portal-portal sukan di dalam dan luar negara terutamanya daripada Indonesia.

“Ini kerana salah seorang pemain legenda mereka, Ristomoyo Kassim juga merupakan sebahagian dari skuad 1986 dan turut menjaringkan gol pada perlawanan final tersebut,” kata SFC dalam satu kenyataan.

SFC juga mengumumkan mereka akan menambah 1,600 helai jersi lagi untuk minggu ini bagi peminat yang tidak sempat mendapatkannya sejak hari pelancaran.

“Bagi menghargai sambutan yang menggalakkan ini, Selangor FC akan menambah lagi 1,600 helai stok baharu minggu ini selewat-lewatnya esok di kedai atas talian Selangorfc.com untuk mereka yang tidak berkesempatan membelinya sebelum ini, manakala edisi penyokong pula akan mula dijual selepas sambutan Tahun Baharu Cina, Februari ini,” tambahnya.

Jersi home 2021 SFC ini dijual dengan harga RM109 untuk versi edisi pemain dan tambahan RM45 dikenakan untuk tambahan “customized nameset” di belakang jersi, manakala pemegang Red Giants Team Card 2021 pula bakal menikmati 10% diskaun untuk harga jersi ini.

Pihak kelab SFC telah memutuskan untuk membuat kelainan pada tahun ini dengan memilih warna kuning sebagai warna utama jersi Home setelah sekian lama ia tidak digunakan sebagai warna utama jersi Home pasukan Selangor. – MalaysiaGazette