Home Utama Amat keterlaluan Tommy buat tuduhan terhadap orang sudah tiada – Najib

Amat keterlaluan Tommy buat tuduhan terhadap orang sudah tiada – Najib

Najib Razak

KUALA LUMPUR – Waris Allahyarham Tun Razak Hussien akan berbincang dan membuat keputusan sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas atau pun tidak.

Ini adalah berhubung isu buku terbaharu Tommy bertajuk My Story: Justice in Wilderness yang mendakwa rusuhan kaum pada 13 Mei tidak berlaku secara spontan sebaliknya telah dirancang terlebih dahulu.

Pada muka surat 27 buku itu, Tommy mendakwa tragedi itu merupaka salah satu agenda rampasan kuasa oleh Allahyarham Tun Abdul Razak.

Bagaimanapun menurut bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, setakat ini, mereka boleh sampai ke tahap mahu menyaman bekas Peguam Negara itu.

“Kita sedang memikirkan apa yang patut dilakukan.

“Jelas sekali buku Tommy Thomas ini bukan sekadar mencetuskan kontroversi hangat tetapi telah melanggar etika sebagai seorang bekas Peguam Negara.

“Kedua, sama ada pendedahan beliau ini boleh dianggar melanggar undang-undang negara seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) atau Akta Hasutan mahu pun aspek perundangan yang lain, itu terserah kepada pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya ketika ditemubual secara eksklusif oleh Malaysia Gazette hari ini.

Menurut Najib yang juga merupakan anak sulung kepada bekas Perdana Menteri Kedua itu, terdapat beberapa laporan polis yang telah dibuat terhadap Tommy.

Ini kerana buku tulisannya itu telah mencemarkan insitusi Peguam Negara dan perundangan yang sangat dihormati di negara ini.

Tambah Najib, tuduhan Tommy tanpa mengemukakan bukti yang sahih terhadap Allahyarham Tun Abdul Razak adalah keterlaluan.

Tegasnya, ia bukan sahaja melibatkan keluarga Allahyarham Tun Abdul Razak sahaja, malah parti UMNO yang dianggotainya.

“Memang amat keterlaluan apabila beliau membuat tuduhan terhadap seseorang yang sudah tidak ada tidak boleh mempertahankan dirinya.

“Malah tuduhan itu pula tidak disertakan dengan apa-apa bukti yang sahih.

“Kita tengoklah..Terpulang. Keluarga kami akan membuat keputusan (sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang atau tidak),” ujar beliau lagi.- MalaysiaGazette