KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) akan menambah sebanyak RM2 bilion lahi kepada Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF), menjadikan jumlahnya bertambah kepada RM4 bilion.
Kemudahan TRRF ini akan disediakan sehingga 31 Disember 2021 atau setelah peruntukan digunakan sepenuhnya, mana-mana yang lebih awal.
Menurutnya, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merupakan penerima Kemudahan Bantuan Khas dan Pembiayaan PKS PENJANA kini boleh memohon TRRF, tertakluk pada jumlah had pembiayaan tidak melebihi RM500,000.
Bagi PKS dalam subsektor perkhidmatan pelancongan dan berkaitan pelancongan, bantuan terus disediakan di bawah Kemudahan Pelancongan PENJANA yang ada.
Dalam pada itu, Bank Pusat ini turut mengumumkan penubuhan Kemudahan Bantuan Bencana 2021 (DRF) sebanyak RM200 juta
Ia ditubuhkan untuk mengurangkan beban kewangan dan membantu memulihkan operasi perniagaan PKS yang terjejas akibat banjir baru-baru ini di daerah yang dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara sebagai kawasan bencana banjir.
DRF ini bertujuan membantu PKS menampung kos membaik pulih dan menggantikan aset untuk kegunaan perniagaan yang mengalami kerosakan.
Dana ini ditawarkan kepada PKS Malaysia termasuk perusahaan mikro dengan jumlah pembiayaan maksimum sehingga RM500,000 bagi setiap PKS dan sehingga RM75,000 bagi setiap perusahaan mikro.
Tempoh pembiayaan adalah sehingga 5 tahun, termasuk moratorium selama 6 bulan bagi bayaran pokok dan faedah. Kadar pembiayaan adalah sehingga 3.50% setahun, termasuk fi jaminan.
Menurut BNM, kemudahan ini disediakan sehingga 31 Julai 2021 atau setelah peruntukan digunakan sepenuhnya, mana-mana yang lebih awal.
Perniagaan yang terjejas boleh memohon pembiayaan pada kadar konsesi daripada institusi kewangan peserta yang terdiri daripada bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM.
Butiran lanjut mengenai ciri-ciri DRF 2021 terkandung dalam Lampiran 2. Maklumat lanjut mengenai DRF 2021 boleh didapati di bnm.gov.my/sme-financing.
PKS dalam sektor lain boleh mendapatkan pelbagai kemudahan yang disediakan di bawah Dana BNM untuk PKS. Keterangan lanjut mengenai dana ini boleh didapati di bnm.gov.my/covid19/.
Untuk mendapatkan bantuan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bank Negara Malaysia di bnm.my/LINK. – MalaysiaGazette