KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadangkan supaya menjadikan keputusan percubaan bagi tiga peperiksaan besar peringkat menengah sebagai tiket untuk pelajar melanjutkan pelajaran di ke menara gading.
Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, langkah itu berikutan masa pendek terhadap pembelajaran yang terpaksa dilalui oleh pelajar-pelajar yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bencana banjir. .
“Berdasarkan maklumat daripada Kementerian Pendidikan, seramai 524,718 pelajar yang bakal menduduki peperikasaan kebangsaan ini dan ianya membabitkan 400,445 calon (SPM), 92,964 (STPM), 23,313 (SVM) dan 7,996 (STAM).
“Disebabkan oleh pandemik Covid-19, dua kali tarikh telah dipinda. Keadaan juga menjadi lebih parah apabila negara kita dilanda musim tengkujuh pada bulan Januari di kawasan Pantai Timur terutamanya di negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“Bayangkan berapa ramai calon SPM yang tidak dapat hadir ke sekolah sejak hari pertama persekolahan yang bermula pada 20 Januari 2021 lalu disebabkan Covid-19 dan banjir,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Shahir berkata, tidak dapat dibayangkan apabila terdapat lapan hingga berbelas subjek yang perlu dipelajari dalam masa hanya sebulan sebelum peperiksaan bermula.
Ujarnya, tidak semua dalam kalangan pelajar berkemampuan untuk mendapatkan tuisyen di luar sekolah selain akses kepada internet di luar bandar juga boleh dianggap kritikal.
“Masih ramai adik-adik kita terpaksa mendaki bukit setiap hari untuk mendapatkan capaian internet di pedalaman.
“Keadaan sebegini bakal mewujudkan jurang pendidikan antara adik-adik kita di bandar dan di luar bandar.
Jurang pendidikan juga bakal wujud antara adik-adik kita di kalangan masyarakat bandar disebabkan kekangan kewangan keluarga yang menjadi kelompok miskin bandar…Ini bakal mencetuskan polemik serius pasca Covid-19,” jelasnya.
Oleh sebab itu katanya, DPIM mencadangkan kerajaan dan menteri pendidikan untuk mewujudkan kaedah baharu bagi melahirkan pelajar yang seimbang dari segi intelek dan emosi dengan mengetepikan peperiksaan kebangsaan untuk tahun 2020 dan menggunakan keputusan peperiksaan percubaan sebagai tiket ke menara gading. – MalaysiaGazette