KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku My Story: Justice In The Wilderness sekiranya didapati ia sengaja diterbitkan dengan niat menyebarkan fakta tidak benar dan mencetuskan kekacauan.
Tambah Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa, penulisnya yang juga bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas perlu disiasat dan didakwa kerana telah mengaitkan Yang di-Pertuan Agong di dalam buku yang sama.
“Laporan polis ini untuk kita mencadangkan KDN mengarahkan polis menyiasat keseluruhan isi kandungan buku ini yang terkait juga fakta berkaitan 13 Mei, kes-kes mahkamah lain.
“Maka kita minta satu laporan penuh dibuat oleh KDN sekiranya laporan ini mendapati benar-benar wujud kesilapan fakta dan manipulasi dan juga mempunyai motif dan naratif menimbulkan kegawatan dan salah faham dalam kalangan masyarakat khususnya yang terkait YDPA dan 13 Mei ini suatu perkara yang besar mudaratnya dalam negara kita.
“Sekiranya perkara ini benar-benar wujud kita minta buku ini diharamkan dijual dalam negara dan keluar negara kerana kandungan buku ini ada rahsia kerajaan,” katanya.
Terdahulu UMMAH membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi di siniĀ selepas Tommy Thomas dalam bukunya mendakwa YDPA bersetuju melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Perdana Menteri Interim sebelum ini.
Mengenai isu 13 Mei, Mohd Zai berpendirian buku tersebut mengancam kestabilan dan keamanan negara sekiranya dibiarkan tersebar di dalam mahupun luar negara kerana turut mengandungi rahsia kerajaan yang tidak sepatutnya didedahkan.
Justeru beliau menyeru pihak-pihak atau individu yang dikaitkan oleh Tommy dalam buku itu turut membuat laporan polis.
Terdahulu, beliau memaklumkan UMMAH menggerakkan jentera di seluruh negara sejak Khamis untuk membuat laporan polis berkaitan isu ini.
“Serentak di seluruh negara hari ini aduan bermula pada petang semalam di Bagan Serai. Laporan tumpukan kepada buku Tommy Thomas, yang telah memaparkan sisi-sisi yang agak kontroversi,” ujarnya.
Untuk rekod, semalam bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga turut membuat laporan polis terhadap Tommy yang didakwa memfitnahnya menerusi buku berjudul My Story: Justice in the Wilderness.-MalaysiaGazette