Home Dunia Rampasan kuasa di Myanmar, Win Htein ditangkap

Rampasan kuasa di Myanmar, Win Htein ditangkap

Win Htein (kiri) merupakan pemimpin kanan Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD) yang diketuai oleh Aung San Suu Kyi (kanan). foto agensi

YANGON – Tentera Myanmar memperketatkan tindakan dengan penangkapan seorang pembantu utama kepada pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi hari ini.

Penangkapan Win Htein itu menyusuli penahanan Suu Kyi berikutan rampasan kuasa oleh tentera pada Isnin lalu.

Perkara ini terjadi apabila, pihak tentera telah mendakwa pilihan raya pada November lalu yang dimenangi oleh Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD) adalah penipuan walaupun suruhanjaya pilihan raya negara itu  tidak ada bukti untuk menyokong tuduhan berkenaan.

Sementara itu, dalam sebuah panggilan telefon bersama BBC Burma, Win Htein mengatakan dia telah dibawa ke ibu kota Nay Pyi Taw oleh anggota polis dan tentera.

Dia ditahan di bawah undang-undang hasutan yang membawa hukuman maksimum seumur hidup walaupun tidak diberitahu tuduhan ke atasnya secara tepat.

Win Htein, 79, merupakan seorang banduan politik yang telah banyak kali ditahan kerana berkempen menentang pemerintahan tentera.

Beliau juga dianggap sebagai orang kanan Suu Kyi yang sering menjadi tumpuan media tempatan serta antarabangsa untuk mendapatkan maklumat.

Menjelang penangkapannya, Win Htein berkata kepada media tempatan tindakan tentera merampas kuasa adalah ‘tidak bijak’ dan pemimpinnya ‘telah membawa negara itu ke arah hala tuju yang salah. -MalaysiaGazette