REMAJA adalah aset negara yang mampu mencorakkan masa depan negara. Dalam kebanyakan isu perihal negaraakan mengaitkan peranan remaja dalam pembangunan negara.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa golongan remaja hari ini telah menjadi sinonim golongan sasaran pelbagai pihak yang berusaha menterjemahkan generasi muda ini menjadi generasi pewaris negara dan akan menyaksikan golongan ini menerajui negara sedikit masa lagi.
Bagi golongan remaja, tekanan dan cabaran yang dihadapi mereka, tanggungan yang diletakkan di bahu mereka,menjadikan mereka sering kali menjamah kesilapan dalam meneruskan kehidupan. Tanpa dorongan dan bimbingan yang sempurna,remaja juga dijadikan sandaran golongan tertentu untuk meraih keuntungan,populariti dan agenda berkepentingan.
Contohnya, apabila berlakunya krisis sosial ,golongan remajalah yang menjadi mangsa telunjuk punca masalah itu berlaku. Kes-kes pembulian di sekolah, ponteng sekolah, masalah seks bebas, ketagihan rokok dan arak di negara ini banyak disasarkan kepada golongan remaja dan ternyata bahawa golongan bermasalah ini telah tersasar daripada pemeliharaan rapi masyarakat kita.
Kecanggiham Dunia Teknologi
Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, kita telah menyaksikan bahawa golongan remaja telah dilabelkan sebagai golongan yang perlu diberi perhatian khusus memandangkan mereka terdedah denganĀ percambahan kuasa teknologi maklumat siber yang banyak mendorong mereka mempercayai maklumat-maklumat yang mendatangkan implikasi besar kepada golongan ini. Masalah ketagihan internet, perjudian haram, penipuan berurusniaga dalam talian dan penyebaran kandungan jelik dalam siber telah mengundang remaja menanggung kesan buruk kepada diri dan imej mereka.
Pencarian Imej Diri
Boleh dikatakan pada lingkungan usia remaja, mereka tidak memiliki identiti diri yang konsisten sehinggalah mereka mencapai usia kedewasaan kelak. Dengan berpandukan dengan persekitaran yang terhidang di hadapan mata mereka, golongan ini akan mencuba apa sahaja yang disangkakan dapat memberikan faedah kepada mereka tanpa mengira sama ada perbuatan mereka akan menjadi ‘buah mulut’ orang lain atau sebaliknya.
Jika ditinjau dari segi psikologi,remaja adalah golongan yang sangat aktif menjelmakan imej dan identiti baru bagi memenuhi kepuasan diri mereka, memenuhi tuntutan peredaran zaman supaya terus relevan dan sentiasa menarik perhatian orang lain terhadap imej yang dianuti mereka.
Namun begitu, tanpa perancangan dan penyusunan strategik yang konsisten, remaja lebih terdedah kepada masalah kemurungan apabila dia merasakan apa sahaja yang dilakukan akan menemui kegagalan. Bayangkan statistik tetkini melaporkan 30 peratus daripada remaja lingkungan 14 hingga 17 tahun di negara ini terdedah kepada perbuatan membunuh diri di atas sebab kegagalan mereka mengatasi penyakit kemurungan tegar yang mereka hadapi.
Hal ini sangat membimbangkan kita kerana golongan remaja seharusnya menjadi suatu generasi yang mencerminkan masa depan negaranya. Memetik pepatah Soekarno, “Jika mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah anak-anak mudanya”. Nah, terserlah bagaimana imej dan reputasi golongan remaja mencerminkan kejayaan dan kemajuan negara bangsanya sendiri.
Hilang Patriotisme Diri
Sejak kebelakangan ini juga, kita sering mendengar keluhan masyarakat yang menyatakan bahawa remaja kurang menonjol menjadi ikonik masyarakat jika dibandingkan dengan tahun-tahun silam. Kecanggihan teknologi maklumat telah melemaskan remaja kita untuk meneroka lebih banyak ilmu yang dapat memantapkan sikap petriotisme dalam kalangan mereka, sehinggakan mereka sanggup mengambil ringan malah menghindarkan diri mereka daripada mempelajari sejarah negara bangsa mereka dan menganggap politik negara sebagai suatu masalah kuasa yang tidak berkesudahan.
Remaja Memilih Kerajaan
Menyedari hal ini juga, kerajaan telah meletakkan suatu cabaran terbesar buat golongan ini dengan memperakukan usia minimum bagi pengundi PRU akan datang diperkenalkan kepada remaja berusia 18 tahun berbanding 21 tahun pada masa sekarang. Ini menunjukkan bahawa dalam seusia sedemikian, remaja akan berupaya dan memiliki hak memilih kerajaan memerintah.
Berikutan pengumuman tersebut, pelbagai polemik dan kritikan daripada masyarakat, kebanyakannya tidak mempercayai kebolehan dan kematangan remaja seusia tersebut untuk membuat pilihan yang tepat bagi menetuskan kelangsungan politik pentadbiran negara ini. Soalnya, adakah mereka bersedia melaksanakan tanggungjawab penting itu?
Tepuk dada tanya selera dan segalanya terletak di tangan masyarakat untuk menentukan kematangan remaja kita bersiap sedia memenuhi tanggungjawab di bahu mereka nanti. Masyarakat kita yang akan memimpin mereka menjelmakan kesinambungan warisan mereka menentukan bentuk kepemimpinan negara.
Reformasi Pendidikan
Realitinya, remaja memerlukan dorongan kuat untuk mengasuh mereka meneroka pengalaman dan ilmu pengetahuan terkini untuk melengkapkan survivor kehidupan mereka.
Reformasi pendidikan pada hari ini yang menyaksikan bahawa remaja bebas memilih bidang kerjaya mereka, membayangkan bahawa kematangan remaja akan diukur berdasarkan pengalaman yang mereka perolehi dan bukan bersandarkan kepada akedemik semata-mata.
Banyak ruang pengalaman yang dapat dijadikan pengajaran terbaik buat remaja semasa mereka menjalani kehidupan menempuh kedewasaan ini seperti memberikan kebebasan mereka membuat pilihan,keputusan sendiri memilih jurusan yang mereka minati supaya mereka akan memperoleh bakat dan menghargai ilmu yang mereka terokai nanti.
Survival Diri
Samalah juga dengan keterlibatan dan bakat anak-anak muda ini dalam bidang sukan yang seharusnya dipupuk dan diperkembangkan sejak kecil lagi. Perancangan yang rapi dari semua peringkat bermula daripada ibu bapa, guru, ketua kampung, pemimpin masyarakat harus dibuat dengan mencungkil bakat-bakat sukan anak-anak muda sejak dari sekolah rendah lagi.
Penjelmaan dan pengembangan bakat tersebut harus dilaksanakan secara konsisten sehinggalah anak-anak muda uni terdidik dalam sekolah-sekolah sukan dan akhirnya mrnjadi atlet negara yang cemerlang dalam suatu trmpoh yang panjang.
Pelan strategik untuk melahirkan remaja berbakat dalam semua bidang juga harus melalui proses yang sama.Ia menjadikan anak-anak muda ini berupaya membina survival diri yang kuat dan tidak bergantung sepenuhnya kepada kemampuan organisasi yang melatih mereka.
Hasilnya mereka akan berupaya menterjemahkan segala pengalaman dan pengetahuan mereka ke haluan survival diri yang matang, bahkan sifat ini nanti akan menterjemahkan anak-anak muda ini memiliki sifat kreativiti dan inovatif untuk mencari segenap ruang dan peluang memajukan diri mereka dengan lebih konsisten.
Apa yang lebih penting ialah dorongan dan bimbingan daripada masyarakat kita untuk mempin anak-anak muda ini menikmati kebebasan memilih ini dengan penuh tanggungjawab walaupun akan ada waktunya mereka gagal dalam satu-satu usaha yang dibuat. Kita seharusnya tidak menakut-nakutkan remaja menganggap regulasi atau peraturan membebankan tetapi mencari penambahbaik dan inovasi diri.
Namun begitu, kegagalan tersebut akan terus memberikan nafas baru buat mereka mempelajari pengalaman yang berharga untuk membina imej dan reputasi diri mereka pada masa akan datang.
Selain daripada itu, pengguasaan Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asing seperti Bahasa Arab, Mandarin dan sebagainya harus dipupuk bagi menambah mutu imej keperibadian remaja apabila melangkah ke dunia pekerjaan nanti.
Kegagalan remaja menyaingi persekitaran pekerjaan hari ini dan masa depan yang banyak memerlukan kemahiran insaniah ini akan melumpuhkan peluang mereka untuk meneruskan survival diri mereka secara konsisten.
Justeru itu, menjadi tanggungjawab bersama kita harus memastikan bahawa kehadiran remaja mewarnai persekitaran kehidupan masyarakat di Malaysia harus diberi dorongan dan bimbingan sewajarnya supaya jalan kehidupan survival mereka akan memperoleh proses kematangan yang diidamkan oleh rakyat hari ini.
Dr. Syed Agil Syed Alsagoff adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia merangkap penganalisis politik.