Home Seni Hidup UPM perkukuh peranan menara ilmu, pacu pertanian teknologi tinggi

UPM perkukuh peranan menara ilmu, pacu pertanian teknologi tinggi

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) menggariskan lima strategi utama bagi memposisikan instititusi pengajian tinggi awam itu sebagai sebuah menara ilmu yang disegani.

Kelima-lima strategi utama itu ialah memacu pertanian berteknologi tinggi, membangun karektor graduan, menjadi kampus pintar dan pendigitalan, mendukung kelestarian institusi mapan dan menatang pembudayaan norma baharu.

Perkara ini dizahirkan  Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman ketika menyampaikan ucapan dalam Naratif Naib Canselor 2021 bertemakan “Menggema Seruan Al-Falah dari Menara Ilmu” secara dalam talian hari ini.

Naib Canselor UPM, YBhg. Profesor Dr. Mohd Roslan Sulaiman menyampaikan ucapan dalam Naratif Naib Canselor 2021 bertemakan “Menggema Seruan Al-Falah dari Menara Ilmu” secara dalam talian hari ini.

Tema itu dipilih bertujuan mengajak semua anggota masyarakat untuk bersama-sama menuju kejayaan iaitu kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat melalui peranan UPM sebagai menara ilmu.

Seiring dengan kebitaraan dalam bidang pertanian, UPM akan memberi tumpuan utama kepada transformasi pertanian melibatkan penggunaan teknologi terkini.

Pertanian berteknologi tinggi  termasuk melibatkan penggunaan dron, sistem pertanian pintar, kecerdasan buatan (AI) dan data raya dengan dibantu peningkatan penggunaan mekanisasi, benih bermutu yang rintang penyakit serta berdaya tahan tinggi daripada kesan perubahan iklim serta amalan agronomik mapan.

“Langkah ini akan dapat mengubah landskap sektor agromakanan negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya.

Menurut Roslan, pertanian berteknologi tinggi akan diarusperdanakan melalui empat strategi utama iaitu meningkatkan integrasi penyelidikan merentas bidang dalam usaha menghasilkan sesuatu inovasi berteknologi tinggi bagi memastikan inovasi tersebut dapat memberi impak yang maksima.

Seterusnya, pihaknya mahu mewujudkan jerayawara model pertanian berteknologi tinggi dengan kerjasama pihak industri tempatan mahupun antarabangsa.

Ia juga termasuk pengeluaran produk teknologi tinggi jenama UPM yang berimpak dan pemerkasaan kumpulan bakat yang berketrampilan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan serta menggalakkan penciptaan produk atau teknologi baharu.

Dalam majlis naratif ini, Roslan turut melancarkan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun UPM sebagai sebuah universiti (1971-2021).

“Kami akan memperkenalkan Indeks Kesejahteraan Warga UPM yang akan dilaksanakan oleh Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS).

“Perkara ini dapat mengukur tahap kesejahteraan warga UPM secara menyeluruh sekali gus bagi menyokong inisiatif Work-Life Balance,” katanya.  -MalaysiaGazette