LEBIH setahun telah berlalu sejak jururawat dan anggota barisan hadapan berjuang menentang COVID-19 di negara kita. Bermula dengan hanya tiga kes warga China yang masuk melalui Johor dari Singapura pada awal tahun 2020, sehingga kini kes hariannya hampir mencecah 6000, sudah tentu memberikan impak terhadap kesihatan dan kesejahteraan mental para barisan hadapan terutamanya jururawat. Menurut rekod sehingga Disember 2020, 1,771 kes jangkitan melibatkan pekerja kesihatan dan jururawat menjadi kumpulan terbesar dengan 690 kes jangkitan.
Menurut survei yang dibuat oleh Nursing Standard, lapan daripada sepuluh jururawat melaporkan kesihatan mental mereka telah terkesan oleh pandemik, dan enam daripada
sepuluh jururawat pula mendakwa kesihatan fizikal mereka telah terjejas. Survei yang dilakukan oleh Nursing Standard ini telah melibatkan 1,650 jururawat pada November 2020.
Survei yang dilakukan oleh Nursing Standard ini telah melibatkan 1,650 jururawat pada November 2020. Antara faktor yang dilaporkan menyumbang kepada tekanan yang dihadapi jururawat
adalah masa memberikan rawatan yang berpanjangan, kebimbangan akan terkena jangkitan, terpisah daripada ahli keluarga tersayang, dan penempatan semula tempat kerja
mereka.
Belum lagi kita melihat keseluruhan kehidupan seorang jururawat dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana anak-anak mereka berada di rumah dan memerlukan bimbingan lebih-lebih lagi sejak pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR). Bagi yang memiliki anak-anak yang bersekolah, sudah tentu faktor-faktor ini memberikan tekanan yang amat dahsyat kepada seorang jururawat yang rata-ratanya juga
seorang ibu dan isteri.
Baru-baru ini kita dikejutkan juga dengan berita kematian seorang jururawat yang dipercayai terkorban akibat jangkitan COVID-19, dan lebih menyedihkan bayi dalam kandungan berusia 30 minggu terpaksa dilahirkan secara pembedahan dan masih lagi berada di unit rawatan rapi neonatal (NICU). Ini hanya sebahagian daripada realiti pengorbanan jururawat dalam pertarungan yang tidak diketahui bilakah akan berakhir.
Walaupun mengetahui akibat tekanan dan jangkitan virus yang mampu membunuh ini, jururawat terpaksa menerima dan melaluinya kerana ini lumrah pekerjaan mereka.
Melihat akan situasi yang menekan jururawat ini, ketua-ketua pasukan mereka boleh mengambil beberapa langkah untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan mental para
jururawat berada dalam keadaan yang baik.
1. Ketua pasukan hendaklah memastikan semua jururawat di bawahnya berkomunikasi dengan berkualiti secara dua hala dan menyampaikan maklumat serta kemaskini dengan tepat. Hal ini adalah untuk memastikan suara setiap jururawat dalam
pasukan didengari dan mengelakkan insiden terlepas maklumat yang mungkin boleh mendatangkan bahaya kepada mereka. Mendengar aduan dan keluhan daripada staf bawahan amat penting supaya mereka merasakan diri mereka dihargai dalam gerak kerja berpasukan.
2. Gilirkan jururawat untuk berkhidmat di tempat yang berisiko tinggi dan rendah. Penggiliran ini akan mengawal tekanan emosi dan mental jururawat daripada berlarutan dan menjadi semakin teruk. Walau bagaimanapun, pengekalan ahli dalam setiap pasukan bertugas perlu diamalkan untuk mengelakkan penularan atau jangkitan silang antara pasukan.
3. Pastikan jururawat yang baru bekerja dibimbing jururawat yang berpengalaman dalam setiap pasukan. Membiarkan jururawat yang baru bertugas tanpa bimbingan akan menyebabkan mereka terdedah kepada risiko insiden yang tidak diingini semakin tinggi. Pada masa yang sama, jururawat berpengalaman ini harus sentiasa memantau emosi dan kesihatan mental jururawat yang baru bertugas dan terpaksa pula berhadapan dengan situasi yang getir ini.
4. Pastikan jururawat dalam pasukan mendapat rehat yang cukup. Sekiranya ahli pasukan mencukupi, jadual bekerja mereka perlu fleksibel supaya mereka ada masa untuk melihat kebajikan ahli keluarga mereka – lebih-lebih lagi dalam fasa PKP dan
pelaksanaan PdPR.
5. Pastikan setiap ahli pasukan tahu bagaimana dan di mana mereka boleh mendapatkan perkhidmatan sokongan mental dan psikososial. Pastikan mereka mengetahui nombor telefon penyedia pekhidmatan ini supaya mereka boleh meluahkan tekanan yang mereka hadapi. Namun, dalam kepimpinan kejururawatan yang baik, ketua itu sendiri mampu mengesan sekiranya jururawat di bawahnya mempunyai masalah seterusnya mampu untuk memberikan sokongan mental dan psikososial yang sewajarnya.
6. Mengamalkan budaya nasihat-menasihati dan saling memberi sokongan spiritual antara satu sama lain. Para jururawat harus dimotivasikan antaranya melalui kaedah keagamaan seperti menanam sifat tawakal, redha, berani, selalu berdoa selain
memperingatkan jururawat dalam pasukannya bahawa tugas mereka adalah sebahagian daripada jihad dan perjuangan menjaga maslahah nyawa manusia.
Pemimpin jururawat bukan hanya cekap dalam mengurus pasukan perawatan yang bertempur di medan COVID-19, malah mereka juga perlu menunjukkan contoh teladan yang
terbaik sepanjang masa bertugas. Mereka harus mampu untuk berfikir secara kritis untuk menghadapi dan menjelaskan kepada jururawat dalam pasukannya mengenai garis panduan
yang baru untuk menghadapi pandemik ini. Isu kebajikan dan kesejahteraan jururawat barisan hadapan yang terkesan dengan pandemik ini perlu disuarakan dengan baik kepada
pengurusan tertinggi.
Kita perlu akui, jururawat umpama sistem pertahanan tubuh manusia yang bertahan dan melawan serangan jangkitan luar. Sekiranya sistem ini lumpuh dan lemah, maka ‘pertahanan’ kesihatan awam akan semakin goyah. Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia pernah mengatakan bahawa fasiliti kesihatan kita semakin meruncing dan mencapai tahap “breaking point”. Kita perlu bersama-sama menghentikan rantaian jangkitan untuk
memberikan ruang kepada sistem kesihatan kita memberikan khidmat perawatan yang terbaik – bagi pesakit yang sedia ada terjangkit. Mereka juga perlu ‘dirawat’ untuk kembali
merawat dengan sempurna.
Masyarakat umum perlu membantu sistem pertahanan ini untuk sentiasa kuat dengan bersifat jujur kepada diri mereka sendiri. Ketika mendapatkan rawatan, orang awam perlu jujur mengakui sekiranya mereka mempunyai gejala jangkitan ataupun berhubung rapat dengan individu yang disahkan positif. Sekiranya mereka menyembunyikan kebenaran, seluruh sistem perawatan yang menerima kunjungannya boleh terkena jangkitan dan
lumpuh. Jika tidak, angka kes jangkitan terhadap pekerja kesihatan akan semakin tinggi. Mereka juga harus patuh kepada pelaksanaan PKP dengan mematuhi prosedur operasi
standard (SOP) untuk melandaikan lengkuk jangkitan kes di Malaysia.
Mohammed Rasheedan bin Ellin,
Jururawat I-Medik