Home Sukan Longgar sektor sukan diharap manfaatkan industri bola sepak

Longgar sektor sukan diharap manfaatkan industri bola sepak

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Langkah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membentangkan permohonan kelonggaran sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diharap membuahkan hasil terbaik kepada semua pihak termasuk industri bola sepak.

Pemerhati sukan bola sepak, Mohd Sadek Mustafa berpendapat kelonggaran menjalani sesi latihan berpasukan terbuka boleh diberi kepada pasukan Liga Malaysia (Liga-M) menjelang sepak mula musim 2021 yang dijadual bermula 5 Mac ini.

Beliau optimis semua pasukan akan memberikan kerjasama mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) serta pendekatan bakal dikenakan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

“Memang pasukan-pasukan sepatutnya sudah memulakan latihan bersama dari sekarang. Sekurang-kurangnya dapat dibenarkan berlatih untuk dua sesi seperti SOP dikenakan pada musim lepas.

“Jadi diharapkan keputusan positif akan dicapai kerana saya percaya pihak kerajaan juga semestinya akan memikirkan langkah terbaik untuk kebaikan semua pihak dalam tempoh kita berdepan pandemik ini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Mohd Sadek yang juga pensyarah kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyifatkan, semua pasukan sedang berlumba dengan masa dalam mempersiapkan pasukan dan memastikan persediaan pada tahap terbaik sebelum saingan bermula.

Beliau berkata, dengan masa terhad, pasukan boleh melakukan pengubahsuaian daripada aspek latihan bersesuaian supaya barisan pemain dapat mencapai keserasian di dalam padang dengan segera.

“Jadi kerjasama pasukan dan juga teknikal pasukan serta barisan kejurulatihan amat penting ketika ini untuk mereka menyediakan pelan sepatutnya sebaik sahaja keputusan dibuat berhubung usaha yang telah dibentangkan oleh KBS,” katanya.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan KBS membentangkan permohonan kelonggaran bagi sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh PKP pada Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagaimanapun jelas Reezal Merican, KBS dan MKN sedang meneliti dan memperinci beberapa perkara berkaitan SOP serta pendekatan yang terbaik untuk pertimbangan dan keputusan muktamad dalam masa terdekat termasuk cadangan serta SOP melibatkan aktiviti sukan ‘outdoor’ dan gimnasium. – MalaysiaGazette