Home Pendapat Membudayakan sifat bantu-membantu dalam masyarakat

Membudayakan sifat bantu-membantu dalam masyarakat

Orang ramai beratur untuk mohonan i-Sinar ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ibu Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 DISEMBER 2020.

KEMUDAHAN atau bantuan yang dihulurkan kerajaan dalam menghadapi waktu yang sukar seperti kemelut pandemik COVID-19 ini adalah bertujuan untuk membantu meringankan
beban rakyat dalam menjalani kehidupan harian. Ia merupakan satu hasrat murni yang sepatutnya digunakan sebaik mungkin terutamanya bersedia menghadapi situasi masa hadapan yang tidak dapat diramalkan.

Salah satu usaha ini termasuk pengeluaran i-Sinar yang dibolehkan bagi pelbagai peringkat golongan masyarakat untuk digunakan sebaiknya terutamanya bagi tujuan kelangsungan
hidup. Namun, ada di antara golongan ini yang dilihat menggunakan bantuan ini sebagai salah satu kesempatan bagi perkara yang tidak perlu. Ini jelas apabila kajian yang dilakukan oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI menunjukkan bahawa hanya 48.6 peratus sahaja yang menggunakan sumber tersebut untuk kegunaan keperluan harian.

Ini adalah suatu perkara yang menyedihkan jika mungkin ada dalam kalangan mereka yang diberi peluang ini menggunakan kemudahan tersebut ke arah yang salah.  Sebagai contoh, membelanjakan kemudahan tersebut ke arah kehendak berbanding keperluan. Malah, mungkin ramai yang alpa apabila mereka tidak sedar bahawa masih ramai lagi dalam kalangan masyarakat yang benar-benar memerlukan bantuan.
Apa yang dilaporkan dalam berita tempatan kebanyakannya mendedahkan tentang impak atau kesan dari cabaran pandemik ini terutamanya yang terjejas sumber pendapatan atau
kehilangan pekerjaan. Melalui sumber ini, jelas menunjukkan bahawa masih ramai dalam kalangan masyarakat yang benar-benar memerlukan bantuan dari pelbagai aspek.

Sebagai contoh, kekurangan keperluan barangan asas harian seperti makanan, kos utiliti dan rumah sudah menjadi suatu kebiasaan keluhan yang dilaporkan di media tempatan.
Pada masa yang sama, keperluan pendidikan juga adalah salah satu elemen penting dalam perkembangan kemajuan negara.
Pendidikan hari ini rata-rata menggunakan medium atas talian atau online berikutan langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan dari semasa ke semasa. Ini menyebabkan keperluan untuk bergantung kepada gajet sedang menjadi trend bagi meneruskan pembelajaran agar tidak ketinggalan. Laporan di media juga menunjukkan ada juga yang pendidikannya terjejas apabila medium pendidikan ini memerlukan kos dan belanja tambahan seperti akses Internet dan gajet yang sesuai.

Perancangan yang penting dalam perbelanjaan sesebuah keluarga sangat penting terutamanya dalam membezakan apa yang perlu dan tidak perlu supaya tidak menjadi suatu yang membazir dan merugikan banyak pihak. Mungkin telah tiba masanya masyarakat berganding bahu dalam membantu antara satu sama lain dalam cuba melengkapi keperluan asas ini dalam meringankan kesempitan dan kesusahan akibat dari wabak COVID-19 ini. Membantu mereka yang sangat memerlukan ini bukan sahaja akan memudahkan mereka, tetapi ia juga akan dapat membantu usaha kerajaan pada masa yang sama. Hal ini juga akan menjauhkan sifat mementingkan sendiri dan dapat menjadi tauladan kepada generasi seterusnya untuk membudayakan sifat prihatin dan saling membantu sesama manusia.

Kesimpulannya, jika sifat bersyukur dipraktikkan dalam kehidupan harian, pasti kemudahan bantuan dari kerajaan ini tidak akan disia-siakan kepada perkara yang tidak perlu, tetapi
mungkin boleh menjadi sumber untuk masing-masing membanyakkan lagi amalan yang baik. Mungkin amalan yang baik ini akan menghidupkan lagi norma suasana masyarakat
yang saling membantu dan dapat merapatkan lagi hubungan di antara satu sama lain.

Dr. Safiyyah Ahmad Sabri
Pensyarah Kanan
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia
Nilai, N. Sembilan.