Home Nasional Penamatan PSU tidak tingkatkan kadar pemberhentian kerja, pengangguran – Perkeso

Penamatan PSU tidak tingkatkan kadar pemberhentian kerja, pengangguran – Perkeso

Mohammed Azman Aziz Mohammed.

KUALA LUMPUR – Penamatan Program Subsidi Upah (PSU) dijangka tidak akan menyumbang kepada peningkatan pemberhentian kerja atau kadar pengangguran.

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, jangkaan itu berdasarkan hasil tinjauan dilaksanakan Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA) melibatkan 469 syarikat yang menerima PSU.

“Hasil tinjauan mendapati hanya 15 peratus daripada responden merancang untuk mengurangkan pekerja mereka, sementara 29 peratus bercadang untuk meningkatkan jumlah pekerja mereka dan lebih daripada separuh atau 56 peratus cenderung untuk mengekalkan pekerja sedia ada.

“Hasil daripada tinjauan ini juga menyokong pelaksanaan PSU bersasar pada tahun ini seperti yang terkandung dalam Belanjawan 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PSU dirangka oleh kerajaan sebagai bantuan kewangan langsung kepada syarikat untuk mengekalkan pekerjaan semasa COVID-19 dan ia dilancarkan pada 1 April 2020 merangkumi bantuan kewangan selama enam bulan dan dilanjutkan selama tiga bulan lagi di bawah PSU 2.0 dan sehingga 31 Dis 2020, lebih 3.7 juta pekerja dan 428,516 majikan telah mendapat manfaat daripada kedua-dua program ini.

Penamatan PSU membawa kepada perdebatan umum mengenai kesannya kepada pekerjaan dan seterusnya implikasi terhadap kadar pengangguran.

Mohammed Azman berkata, tinjauan ringkas (snap survey) yang dijalankan secara dalam talian itu bertujuan menilai impak penamatan PSU ke atas pekerjaan yang bermula pada 30 Okt hingga 22 Nov tahun lalu dan hasil tinjauan tersebut diperincikan dalam Laporan The Day After Tomorrow: Estimating the Impacts of Ending Temporary Wage Subsidy Programme.

Katanya bagaimanapun, penemuan tinjauan tersebut tidak mengambil kira kesan ekonomi akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang yang bermula pada 14 Okt tahun lalu dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dilaksana pada 13 Jan 2021.

Tambahnya, PKPB dan PKP 2.0 dijangka memberi impak sederhana kepada pemulihan ekonomi dan seterusnya, berpotensi memberi kesan kepada pekerjaan.

Perkeso menerusi Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), akan terus memainkan peranan penting sebagai pelengkap kepada maklumat pasaran buruh di negara ini.

EU-ERA adalah pusat penyelidikan kolaboratif antara SIP Perkeso dan Universiti Putra Malaysia Consultancy & Services (UPMCS). – MalaysiaGazette