KUALA LUMPUR – Sambutan Tahun Baru Cina merupakan perayaan keagamaan yang dinanti-nantikan masyarakat Tionghua saban tahun.
Namun ia diraikan dengan cara berbeza kali ini selepas penularan Covid-19 yang belum ada pengakhirannya.
Kebiasaannya, dalam tempoh beberapa hari sebelum Tahun Baru Cina, mereka biasanya sibuk membuat persiapan akhir seperti membeli kuih-muih, pakaian baharu, dekorasi rumah seperti bunga dan tanglung.
Salah satu tempat tumpuan ialah di Petaling Street yang menjadi antara lokasi wajib dikunjungi untuk berbelanja namun suasana tahun ini ternyata berbeza berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dilanjutkan sehingga 18 Februari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati kebanyakan kedai dan gerai ditutup sementara suasana juga agak lengang tanpa pengunjung berpusu-pusu untuk membeli barangan keperluan seperti sebelum ini.
Seorang peniaga kuih raya, Wanni, 21, berkata, banyak kedai-kedai yang menjual produk makanan di kawasan tersebut ditutup kerana khuatir jualan mereka tidak laku akibat ketiadaan pelanggan.
“Perniagaan tak berapa baik ketika ini jadi terpaksa kurangkan stok kuih yang dijual kerana kita mementingkan kesegaran produk.
“Kalau kita jual kuih yang sudah lama, selalunya selepas itu pelanggan memang tidak akan datang lagi ke kedai.
“Banyak kedai-kedai yang menjual aneka kuih raya juga tidak beroperasi ketika PKP ini kerana mereka risau jualan mereka tidak dapat dihabiskan kerana jumlah pelanggan yang kurang,” katanya.
Dalam pada itu, bagi Avy Lau, 38, yang menjalankan perniagaan kuih raya menyatakan perayaan Tahun Baru Cina kali ini amat berbeza dan kurang terasa kemeriahannya.
Katanya lagi, perniagaan yang diusahakannya itu hanya bergantung kepada pelanggan tetap yang datang untuk membeli kuih kegemaran mereka menjelang sambutan pada 12 Februari ini.
“Saya cuma harap pelanggan tetap sahaja datang beli kuih, kalau tunggu pelanggan walk in memang langsung tiada.
“Jika tahun lalu saya menjual lebih 80 jenis aneka kuih raya tapi tahun ini terpaksa dikurangkan hampir separuh daripada jumlah tersebut. Hari ini pun sudah tinggal tak banyak ada lebih kurang 20 jenis sahaja,” ujarnya.
Sementara itu, pengurus jualan kedai perhiasan, Lai Wai Meng pula bersyukur kerana kerajaan membenarkan perniagaannya beroperasi semula dalam pelaksanaan PKP 2.0.
Jelasnya, perayaan Tahun Baru Cina masih perlu diraikan seperti biasa walaupun hanya bersama keluarga di rumah.
“Pelanggan yang datang mereka beli barang-barang untuk mendekorasi kediaman masing-masing supaya dapat merasai semangat perayaan tersebut. Selalunya mereka beli tanglung, wordings atau pun bunga.
“Kita turut jalankan perniagaan dalam talian kerana kita faham sewaktu PKP orang ramai tidak boleh merentas daerah. Berniaga secara online memang sangat membantu kami ketika ini untuk meneruskan kelangsungan perniagaan,” katanya.
Jumaat lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan sempena sambutan Tahun Baharu Cina adalah SOP ketat sama seperti yang dilaksanakan pada setiap perayaan sebelum ini.
Tegas beliau, setiap SOP perayaan bukan Islam yang diumumkan adalah hasil pembentangan dibuat oleh Kementerian Perpaduan Negara dan mendapat persetujuan daripada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara. – Malaysia Gazette.