Home Nasional Pegawai MBPJ mengaku tidak bersalah terhadap 2 tuduhan terima suapan RM377,696

Pegawai MBPJ mengaku tidak bersalah terhadap 2 tuduhan terima suapan RM377,696

Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengiringi seorang pegawai Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) berusia 43 tahun (tengah) yang berhadapan dengan dua tuduhan menerima suapan berjumlah RM377,696 ketika di Mahkamah Sesyen Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 08 FEBRUARI 2021.

SHAH ALAM – Pegawai Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) berhadapan dengan dua tuduhan menerima suapan berjumlah RM377,696.

Menerusi pertuduhan pertama, Ahmad Hasrul Ahmad Nordin yang menyandang jawatan Penolong Pegawai Seni Bina pada 4 Jun 2018 didakwa menggunakan kedudukannya menyediakan dan menandatangani Borang Arahan Kerja menyelenggara kuarters MBPJ fasa satu beserta tuntutan bayaran kepada syarikat Foller Trading sebanyak RM316,762.54.

Beliau yang berusia 43 tahun, kemudian didapati sekali lagi melakukan kesalahan yang sama pada 28 Disember 2018 dengan mengeluarkan borang arahan pembayaran kepada syarikat berkenaan sebanyak RM78,813.60.

Ahmad Hasrul melakukan kesalahan yang tertakluk di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Akta itu menetapkan pesalah dihukum penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana mengikut nilai suapan yang lebih tinggi.

Selepas mendengar keseluruhan pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen Jenayah 1, beliau mengaku tidak bersalah.

Hakim Rozilah Salleh kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM40,000 dari seorang penjamin.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab mencadangkan agar mahkamah menetapkan ikat jamin RM80,000 untuk kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun, Peguambela tertuduh Ariff Azami Hussein memohon jumlah ikat jamin dikurangkan berikutan kedudukan kewangan Hasrul tidak mengizinkan kerana beliau perlu menyara isteri dan tiga orang anak yang mana salah seorang adalah Orang Kurang Upaya (OKU).

Beliau turut diarahkan menyerahkan passport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga kes perbicaraan selesai dan melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM sebulan sekali.-MalaysiaGazette

+ posts