Home Nasional 1MDB: Jho Low ada kuasa lantik CEO – Saksi

1MDB: Jho Low ada kuasa lantik CEO – Saksi

Saksi yang merupakan bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mohd Hazem Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Mohd Hazem Abd Rahman mendakwa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mempunyai kuasa tertinggi dalam syarikat tersebut.

Malah, katanya, Jho Low mempunyai kuasa untuk menentukan siapa CEO syarikat tersebut.

Ketika disoal peguam bela, Wan Aizuddin Wan Mohammed mengapa beliau terus kekal dalam syarikat walaupun tidak bersetuju dengan apa yang berlaku terutamanya dalam perkara membabitkan pelaburan dan kedudukan kewangan syarikat, Mohd Hazem memberitahu, beliau berkhidmat pada 2013 hingga 2015 dan ada masanya berasa kecewa dengan cara 1MDB ditadbir.

Katanya, beliau pernah cuba meletakkan jawatan namun dihalang oleh Allayarham Datuk Azlin Alias yang merupakan bekas Setiausaha Sulit Perdana Menteri ketika itu.

Wan Aizduddin: Jho Low banyak beri arahan dalam email kepada kamu?

Mohd Hazem: Tidak semua arahan datang dari beliau, saya juga tidak ingat tapi memang ada arahan dari beliau dan saya akan ikut.

Wan Aizuddin: Adakah Jho Low ada kuasa untuk tentukan siapa CEO 1MDB?

Mohd Hazem: Ya, betul.

Wan Aizuddin: Dia ada kuasa itu?

Mohd Hazem: Ya.

Low Taek Jho

Saksi ke-10 kes IMDB itu mendedahkan walaupun Jho Low mempunyai kuasa memberi apa sahaja arahan namun tiada rekod bertulis dalam mesyuarat Lembaga Pengarah.

Malah dakwa Mohd Hazem, ada Lembaga Pengarah maklum tentang penglibatan tidak rasmi Jho Low dalam perjalanan syarikat tersebut namun ia tidak direkod termasuk minit mesyuarat.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhadapan empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan akan bersambung pagi esok di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. -MalaysiaGazette