NIBONG TEBAL – Bagaikan jatuh ditimpa tangga, itulah nasib seorang ibu tunggal yang memerlukan sumbangan daripada orang ramai bagi membiayai kos rawatan dan keperluan anaknya yang menderita sakit saraf.
Lebih memilukan, Adam Aliff Saiful Izzat yang baru berusia 10 bulan itu juga kehilangan kedua-dua penglihatannya akibat penyakit tersebut.
Mencerita nasib hidup, Iffah Ruzana Jesni,19, berkata, beliau sudah membebankan keluarga selepas diceraikan suami ketika mengandung tiga bulan.
Katanya, dia bergantung hidup sepenuhnya dengan ibu dan ayahnya selain cuba untuk mencari pekerjaan bagi meringgan beban keluarga, namun semua itu tidak dapat dibuat susulan perlu menjaga anaknya sepenuh masa.
“Saya melahirkan Adam secara normal pada Mei lalu namun ketika berusia empat bulan dia tiba-tiba diserang sawan sebelum doktor mengesahkan menghidap sakit saraf.
“Tidak putus asa dengan kejadian itu, saya sering berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan buat Adam dan adakalanya terpaksa tinggal berminggu-minggu di hospital bagi memastikan dia sihat seperti biasa.
“Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi kami apabila doktor memberitahu anak tunggal saya itu hilang penglihatan serta otaknya tidak berkembang seperti bayi lain,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di rumahnya di Taman Enggang Indah di sini hari ini.
Menurut Iffah, dia membantu sepupunya menjual pisang goreng dengan pendapatan sehari RM15 agar dapat meringgankan beban keluarga.
“Semua kos perjalanan ke hospital, ubat serta susu Adam ditanggung sepenuhnya oleh ayah.
“Hal ini menyebakan saya akan meninggalkan dia untuk beberapa jam di bawah penjagaan mak bagi membantu sepupu berniaga agar dapat membiayai sekurang-kurangnya kos lampin pakai buang,” ujar anak bongsu daripada lapan beradik itu.
Tambah Iffah, dia memerlukan bantuan dan sumbangan orang ramai agar dapat membiayai kos perjalanan ke hospital serta keperluan asas buat anak lelakinya itu.
“Setakat ini, saya membawa Adam ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan tetapi doktor beritahu Mac nanti saya perlu dapatkan rawatan di Hospital Besar Pulau Pinang.
“Perjalanan dari rumah saya ke hospital itu jauh dan ia sekali gus menelan kos perjalanan yang banyak memandang tidak sesuai untuk kami menunggang motosikal ke sana,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) Pulau Pinang, Mohd. Afifi Ruslan tampil menyantuni keluarga tersebut selain menyerahkan bantuan awal.
“Kita hadir hari ini bagi menyampaikan bantuan awal serta mendapatkan maklumat lanjut agar dapat menyalurkan bantuan yang sesuai selepas ini.
“Pada masa yang sama, kita juga akan menyampaikan maklumat kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan zakat agar dapat memberikan bantuan kepada ibu tunggal ini,” jelas beliau.
Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Nibong Tebal, Mohd Norhiesham Ismail.
Orang ramai yang ingin menyampaikan sumbangan boleh menghubungi Iffah di talian 019 554 9071. – MalaysiaGazette