KUALA LUMPUR – Penyanyi, Wany Hasrita telah melancarkan single solo terbaharu berjudul Cinta Khayalan yang kini boleh dilayari di semua platform digital dan muzik video di saluran Youtube FMC Music.
Jelas wanita berusia 29 tahun itu, lagu ciptaan Farouk Razak dan Amelia AF itu sukar dibawanya kerana ‘berat’ ketika melalui proses rakaman.
Malah dia mengakui mengambil yang lama dan terpaksa empat kali masuk ke studio untuk memastikan rakamannya menjadi sempurna.
“Cinta Khayalan merupakan lagu yang paling berat dan susah untuk saya rakamkan, kerana lagu ini memerlukan emosi yang kuat selain perlu fokus pada vokal. Dan ini pertama kali saya merakamkan lagu yang memerlukan masa yang lama untuk disiapkan.
“Empat kali saya ke studio rakaman bagi memastikan hasil lagu ini betul-betul mencapai tahap yang dikehendaki oleh pencipta lagu ini. Memang agak mencabar kerana lagu ini sebenarnya saya rakamkan sewaktu bulan Ramadan tahun lalu.
“Bayangkan struggle saya untuk siapkan lagu ini kerana bulan puasa sudah tentunya tenaga juga berbeza berbanding bulan lain. Namun saya sangat puas hati kerana pengorbanan saya berbaloi,” katanya pemegang Ijazah Sains Perubatan ini.
Wany atau nama sebenarnya, Nurshazwany Hasbullah menambah, walaupun Cinta Khayalan adalah lagu berat dan sangat mendalam maksudnya, dia berasa gembira kerana telah melangkah setapak ke hadapan dalam kariernya.
Akuinya, dia telah berjaya mencabar dirinya untuk keluar dari zon yang selesa dan menyanyi lagu yang biasa dinyanyikan sebelum ini.
“Jujur saya kata kan saya in love dengan lagu ini dan kalau tak percaya, peminat kena dengar dan hayati sendiri lagu ini.
“Saya mohon anda semua menjadi juri serta tidak teragak agak memberi komen tentang lagu dan cara nyanyian saya. Saya rela dikritik demi kebaikan kerjaya saya, tetapi kritik tentang lagu bukan tentang kisah peribadi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan FMC Musib, CF Ho memberitahu, Wany telah sendiri datang ke FMC dan meminta syarikat rakamannya mencarikan lagu yang kuat dan berbeza daripada lagu sebelumnya.
“Wany minta saya cari lagu yang ada vibe OST dan susah untuk beliau nyanyikan. Dan saya hubungi Amelia untuk buat demo lagu untuk Wany dan tak sangka hasilnya luar biasa.
“Sebenarnya bila lagu ini sudah siap dan dengar, kami juga rasa teruja dengan hasilnya. Bagi kami di FMC music, kami bangga dengan perubahan dan keberanian Wany untuk mencabar diri agar lebih maju ke depan dan telah buktikan dalam lagu ini,” katanya. – MalaysiaGazette