KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) terkejut dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba yang melonggarkan peraturan kuarantin kepada anggota Kabinet yang melakukan perjalanan rasmi ke luar negara.
Perintah tersebut pada dasarnya mengurangkan tempoh kuarantin menteri dari 10 hari kepada tiga hari.
”Adakah ini keputusan Menteri atau dari KKM (Kementerian Kesihatan) yang beliau ketuai atau dari MKN (Majlis Keselamatan Negara)?.
”Apakah menteri kebal dari dijangkiti dan menjangkiti orang lain?” soal presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mempersoalkan kelongaran itu diberikan kepada barisan Kabinet ketika penguatkuasaan sangat tegas ke atas rakyat biasa yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Soalnya kenapa ada darjat berbeza dalam perundangan.
Mohd Azmi berkata, rakyat bertungkus lumus untuk hidup dalam keadaan PKP sebaliknya menteri yang bergaji penuh mendapat segala kemudahan dan kelonggaran SOP.
Hujahnya lagi, dalam keadaan kes Covid-19 di negara ini masih tinggi, apa rasional kelonggaran ini diberi kepada para menteri.
”Kami berpendirian tidak wajar keputusan ini dibuat dalam keadaan rakyat dipaksa diperketatkan pergerakan dan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri bila menjalani kuarantin penuh 10 hari bila balik ke negara sedangkan menteri dilonggarkan dari SOP tersebut.
”Mesej dari kerajaan dalam mendepani pandemik ini nampaknya bukan mesej yang mengutamakan contoh dari atas. Rakyat dipaksa patuh tetapi menteri mendapat layanan istimewa,” ujarnya lagi.
Nampaknya, pemimpin kerajaan tidak menunjukkan contoh yang baik untuk diteladani sedangkan kerajaan sewajarnya menghantar mesej kesihatan yang betul untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan tidak mengamalkan double standard.
Dalam keadaan yang sangat kritikal seperti sekarang, sepatutnya kelonggaran tidak diberi kepada sesiapapun.
”Peraturan tidak harus bersifat pengkastaan dimana antara rakyat dan menteri mendapat standard operasi yang berbeza,” tambahnya.
Sehubungan itu, MAPIM mengesa KKM dan MKN memberi penjelasan kepada rakyat mengapa keputusan ini dibuat.
Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba telah mengeluarkan perintah yang melonggarkan peraturan kuarantin kepada rakan-rakan anggota kabinet yang melakukan perjalanan rasmi ke luar negara.
Perintah tersebut pada dasarnya mengurangkan tempoh kuarantin menteri dari 10 ke tiga hari.
Perintah itu dinamakan “Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021” terbit pada Warta Persekutuan hari ini.
Ia ditandatangani Adham dan akan berkuatkuasa hari ini.
Sebelum ini juga ada menteri yang tidak menjalani peraturan kuarantin mengikut SOP selepas pulang dari luar negara dan didenda dengan kompaun sahaja.
Yang terbaharu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baru sahaja kembali ke Malaysia pada Jumaat lalu setelah lawatan rasmi dua hari ke Indonesia. – MalaysiaGazette