Home Pendapat Mekanisma jangkitan virus Covid-19 pada manusia

Mekanisma jangkitan virus Covid-19 pada manusia

Anggota RELA meminta orang ramai menjaga penjarakan fizikal bagi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Malam Taman Melati, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 05 FEBRUARI 2021.

MUTAKHIR ini, dunia telah dikejutkan dengan wabak Covid-19 yang telah melanda seluruh dunia. Negara kita juga tidak terkecuali dalam menghadapi situasi yang genting ini.
Peningkatan kes terus berlaku walaupun berbagai langkah pencegahan telah dikuatkuasakan.

Jangkitan Covid-19 tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyebabkan gangguan sistem pertahanan atau immunity badan dan boleh membawa maut. Golongan berisiko tinggi seperti
kanak-kanak, orang tua, ibu mengandung, serta mereka yang mempunyai masalah kesihatan kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung perlulah dilindungi dari
jangkitan ini.

Kesan jangkitan Covid-19 kepada tubuh seseorang individu adalah pelbagai dan dipengaruhi juga pada beberapa faktor seperti kadar pertahanan badan dan kesihatan seseorang. Jangkitan Covid 19 boleh dibahagikan kepada 5 tahap. Pada tahap 1, seseorang yang dijangkiti boleh sahaja tidak bergejala dan tidak sedar bahawa dia telah dijangkiti.

Manakala pada tahap kedua, pesakit mengalami demam ringan dan gejala jangkitan salur pernafasan seperti batuk, selsema, sakit tekak dan hilang deria bau. Dalam keadaan yang lebih serius, pesakit akan mengalami jangkitan paru-paru (pneumonia) dengan gejala demam panas, sakit dada dan sesak nafas dan ini berada di tahap ketiga.

Manakala tahap keempat, sebahagian pesakit Covid-19 yang mempunyai faktor risiko tertentu mungkin akan mengalami jangkitan paru-paru yang lebih serius sehingga memerlukan bantuan oksigen. Akhirnya, jika pesakit dikategorikan pada tahap kelima, pesakit akan mengalami komplikasi kegagalan organ-organ lain seperti buah pinggang, hati dan pendarahan dan boleh menyebabkan kematian.

Virus Corona (SARS-CoV) boleh menjangkiti kita melalui titisan pernafasan apabila berlaku kontak secara langsung. Ia juga boleh berlaku melalui kontak secara tidak langsung. Virus ini boleh hidup di permukaan seperti meja, tombol pintu dan butang lif dan
dipindahkan kepada individu lain apabila bersentuhan. Oleh itu adalah sangat penting untuk kita mengamalkan penjarakan fizikal dan melakukan sanitasi pada permukaan yang sering disentuh.

Virus SARS-CoV masuk ke dalam tubuh manusia melalui protin reseptor yang dikenali sebagai ACE2. Reseptor ACE2 ini terdapat dengan banyak di paru-paru, usus dan buah pinggang. Oleh kerana itu, organ ini lebih mudah dijangkiti. Kajian juga menunjukkan reseptor ACE2 ini juga banyak terdapat pada sel yang melapisi saluran darah. Ini menerangkan bagaimana dalam kes tertentu jangkitan akan menyebabkan kegagalan berbagai
organ badan.

Kajian saintifik telah membuktikan beberapa teori dan memberikan idea tentang mekanisma jangkitan Covid-19 terhadap manusia. Jangkitan virus ini ke atas sel manusia
mampu memberi kesan toksik secara langsung dan menyebabkan sel mati. Selain itu, ia juga mnyebabkan gangguan kepada regulasi sistem dalam badan.

Jangkitan akan menyebabkan penurunan bilangan reseptor ACE2 yang dalam keadaan biasa diperlukan untuk proses pemulihan sel yang tercedera, pengecutan salur darah dan mengekalkan keutuhan dinding salur darah. Akibatnya akan berlaku proses keradangan dan ketirisan pada dinding salur darah. Keradangan pada salur darah akan menyebabkan pengaktifan sistem pembekuan darah di dalam salur darah di seluruh badan.

Dianggarkan sebanyak 30% pesakit bergejala akan mengalami jangkitan paru-paru. Ini berlaku akibat keradangan yang menyebakan kerosakan pada sel di paru-paru.

Ketirisan pada salur darah di paru-paru akan menyebabkan plasma dari darah memasuki ruang kantung pernafasan di paru-paru. Kantung pernafasan akan dipenuhi cecair plasma dan menyukarkan proses pertukaran gas. Keadaan ini mengakibatkan pesakit mengalami kesukaran pernafasan.

Pengaktifan sistem pembekuan darah pula boleh menyebabkan berlaku penyumbatan salur darah dan juga komplikasi pendarahan. Gangguan regulasi pada sistem pertahanan badan juga boleh berlaku. Sel darah putih yang dikenali sebagai sel T limfosit dan makrofaj akan diaktifkan untuk menghasilkan bahan
biokimia dalam badan seperti interlukin dan interferon yang dikenali sebagai ‘cytokine’.

Cytokine memainkan peranan yang amat penting dalam proses keradangan. Proses keradangan ini adalah mekanisma semulajadi pertahanan badan untuk mengawal jangkitan. Namun begitu, dalam kes berisiko tinggi, keradangan ini boleh menjadi berlebihan dan tidak terkawal. Keadaan ini dikenali sebagai ‘Cytokine Storm’.

Dalam situasi ini, cytokine dihasilkan dalam jumlah yang sangat banyak. Pesakit akan berada dalam keadaan kritikal dan
mengalami kegagalan fungsi pada berbagai organ dalam badan dan mungkin membawa maut. Sel B limfosit pula akan menghasilkan antibodi terhadap virus Covid-19 yang berfungsi
untuk melawan jangkitan.

Sehingga kini rawatan spesifik untuk jangkitan Covid-19 masih belum ditemui. Vaksin telah berjaya dihasilkan oleh beberapa penyelidik, namun ianya masih dalam proses kajian klinikal.

Justeru itu, langkah pencegahan jangkitan adalah masih menjadi keutamaan untuk kita mengawal dan menghentikan jangkitan ini. Jagalah jarak fizikal, elakkan sentuhan langsung seperti  bersalaman dan berpelukan. Sentiasa pakai pelitup muka. Hindari
perkumpulan beramai-ramai dan pergerakan keluar sekiranya tiada keperluan.

Elakkan menyentuh mata, hidung dan mulut yang mungkin menjadi jalan utama untuk jangkitan berlaku. Basuh tangan menggunakan sabun dengan kaedah yang betul secara kerap.
Sekiranya anda bergejala, lindungilah orang lain dengan berada di rumah. Tutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin. Dapatkan maklumat berkaitan dari pihak yang berwajib.

Setiap individu memainkan peranan penting untuk mengawal pandemik ini. Kebersihan merupakan sebahagian daripada iman. Kita sebagai manusia yang beriman kepada Allah SWT hendaklah mengamalkan gaya hidup yang sihat, menjaga kebersihan diri dan keadaan keliling bagi membendung wabak ini daripada terus tersebar serta mengganas menjangkiti manusia lain.

Sabda Nabi Muhammad SAW”Sesungguhnya Allah Ta’ala itu baik (dan) menyukai kebaikan, bersih (dan) menyukai kebersihan, mulia (dan) menyukai kemuliaan, bagus (dan) menyukai kebagusan. Oleh sebab itu, bersihkanlah lingkunganmu”. (HR. At- Turmudzi).

Marilah kita sama sama berganding bahu dan bersatu padu serta memainkan peranan masing masing dalam melawan wabak ini dari terus merebak. Putuskan rantai rantaian Covid 19. Kita pernah hampir menang dan kita boleh menang!

Prof Madya Dr Noor Fadzilah Zulkifli
Profesor Madya Perubatan/ Pakar Patologi Klinikal
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia.

Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Anatomi
Fakulti Pergigian
Universiti Sains Islam Malaysia.