Home Nasional Jika tiada pelanggan, kami mampu bertahan 2 minggu sahaja lagi – Soleh

Jika tiada pelanggan, kami mampu bertahan 2 minggu sahaja lagi – Soleh

Pengerusi Persatuan Medan Selera Tasik Selatan, Mohd Solleh Bin Ibrahim pada sidang media mengenai kerugian yang ditanggung peniaga semasa Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 di Restoran Al Baik, Kuala Lumpur.Foto SHAFIY ZUL, 09 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Akibat pelanggan semakin berkurangan saban hari,  makanan yang dijual pun jarang habis seperti sebelum ini.

Itu keluhan seorang peniaga Medan Selera Tasik Selatan, Mohd Soleh Ibrahim yang mengakui terpaksa memanaskan semula makanan belum rosak untuk dijual kerana kedai makannya tidak ldikunjungi pelanggan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Persatuan Medan Selera Tasik Selatan, Mohd Solleh Bin Ibrahim pada sidang media mengenai kerugian yang ditanggung peniaga semasa Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 di Restoran Al Baik, Kuala Lumpur.Foto SHAFIY ZUL, 09 FEBRUARI 2021.

Meskipun kerajaan telah membenarkan restoran dan kedai-kedai makan beroperasi sehingga 10 malam namun katanya pelanggan tidak lagi seperti dahulu.

Menurutnya, pendapatannya kini jauh merosot dan jika situasi itu beterusan, beliau yang telah berniaga hampir 20 tahun menjangka perniagaannya hanya akan mampu bertahan untuk dua minggu sahaja lagi.

“Masakan kadang-kadang kita terpaksa panaskan balik, itupun pelanggan jarang masuk, masakan tidak akan boleh bertahan.Ini kedai makan kecil apatah lagi restoran.

“Saya ingat tidak sampai satu hingga dua minggu banyak lagi restoran tutup,” katanya ketika sidang media bersama Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah di sini hari ini.

Justeru Soleh yang juga Pengerusi Persatuan Peniaga Medan Selera Tasik Selatan memohon agar kerajaan mempertimbangkan semula kebenaran untuk pelanggan makan di premis.

Beliau berkata, kebenaran untuk pelanggan makan di kedai makan dan restoran sebelum ini dilihat boleh dilaksanakan semula dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

Jelasnya, peniaga kedai makanan yang lain juga akan bersedia mematuhi SOP yang akan ditetapkan.

“Kajilah dulu, kalau ada jangkitan daripada makan semeja di restoran dan tolonglah kami cari jalan lagi. Kita pun harap kerajaan fikir masak-masak, SOP letak meja untuk dua orang makan, adakah ia sumbang Covid-19,” katanya lagi.

Tidak mahu mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata, sebaliknya Soleh berharap punca pendapatannya tidak akan terputus.

“Kita ada anak untuk disara, ada hutang untuk dibayar. Saya tahu ada pakej-pakej bantuan. Rakyat pun tidak mahu pakej, bantuan rakyat mahu peluang memudahkan boleh mengadakan aktiviti perniagaan. Kalau bantuan sampai bila akan habis,” tambahnya.

Dalam pada itu, seorang pengusaha restoran Cina di Puchong seperti Kevin Chee juga turut terkesan dengan situasi semasa.

Peniaga,Kevin Chee pada sidang media tentang kerugian yang ditanggung peniaga semasa Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 di Restoran Al Baik, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 09 FEBRUARI 2021.

Ujarnya dalam situasi pendapatan yang semakin kurang, beliau masih perlu membayar sewa premis setiap bulan, sewa hostel pekerja, bil elektrik dan bil air.

“Saya pun sama macam restoran lain, kami pun pengusaha restoran Cina sangat terkesan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ridzuan berharap agar kerajaan dapat mengeluarkan SOP yang baharu untuk kedai makan dan restoran yang kini semakin tenat.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah pada sidang media mengenai peniaga restoran terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 di Restoran Al-Baik Bistro, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 09 FEBRUARI 2021.

Katanya, banyak pengusaha restoran dan kedai makan tidak mampu melunaskan komitmen sewa yang tinggi dan keadaan itu jika berterusan akan mengakibatkan lebih ramai restoran yang akan gulung tikar.

“Bila tutup terus implikasinya pengusaha tidak dapat bayar sewa, ada penyewa tidak mahu kurangkan sewa. Kadar bayaran sewa ada yang RM5,000, pengusaha juga tidak dapat pinjaman dan akhirnya ekonomi juga akan terkesan dan tenat, jadi sekurang-kurangnya benarkanlah satu meja satu atau dua orang,” tambahnya.

Terdahulu Mohd Ridzuan mendakwa hampir 60,000 restoran di Lembah Klang telah gulung tikar kerana tidak dapat menampung tanggungan komitmen yang tinggi dalam tempoh PKP.-MalaysiaGazette