Home National Pertemuan dengan Jokowi penting kerana prinsip sejarah – Kamaruddin

Pertemuan dengan Jokowi penting kerana prinsip sejarah – Kamaruddin

Temubual bersama Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar ketika mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Malaysia Gazette di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 09 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir rakyat Malaysia yang didakwa mencerca Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Facebook Presiden Indonesia amat tidak wajar dan tidak mewakili majoriti masyarakat negara ini.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, beliau terperanjat dan kecewa dengan apa yang berlaku kerana pertemuan kedua-dua pemimpin negara amat penting berdasarkan prinsip sejarah bersama.

Malah jelas beliau, pertemuan Muhyiddin dan Jokowi bukan sahaja merapatkan hubungan yang sudah pun baik namun terdapat perkara-perkara penting dan konkrit yang dibincang serta tidak semua semestinya perlu dilaporkan secara umum.

“Harapan saya bahawa sebenarnya apa yang ditulis dan suarakan yang dimuatnaik di laman itu bukan mewakili perasaan sebenar majoriti terbesar rakyat kita di Malaysia.

“Saya terperanjat (kerana) satu lawatan yang amat penting dari segi Kementerian Luar, kita sentiasa faham hubungan yang paling erat sekali dengan Indonesia.

“Atas prinsip-prinsip sejarah bersama, rumpun bersama, dan ia tradisi kita, kalau pihak Indonesia ada pemimpin yang baharu, negara pertama yang kita lawat adalah Malaysia, kalau sebelah kita ada perdana menteri yang baharu, negara pertama yang kita lawatinya secara rasminya adalah Jakarta Indonesia, ini adalah amalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Pejabat MalaysiaGazette di sini hari ini.

Kamaruddin menambah, pertemuan Muhyiddin dan Jokowi itu merupakan kerjasama yang berterusan daripada segi hubungan ekonomi dan sosial antara dua negara jiran yang rapat selama ini.

Jelas beliau, ia telah menghasilkan persetujuan dan persefahaman yang cukup baik bagi pengkritik yang menentang dan membangkitkan isu-isu yang sudah diselesaikan di Parlimen Malaysia dan tempat lain yang dibincangkan di Jakarta.

“Satu tindakan yang amat-amat tidak sesuai dan boleh dikatakan memalukan kita sebagai rakyat Malaysia kalau ini benar-benar tindakan rakyat Malaysia yang sebenarnya.

“Tapi saya yakin, ini adalah usaha-usaha politik kepartian yang tidak bertempat sebenarnya dengan kelakuan seperti itu saya yakin tidak mewakili majoriti rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette