Home Dunia Rusuhan Capitol berlaku atas kehendak sendiri penyokong Trump – Peguam

Rusuhan Capitol berlaku atas kehendak sendiri penyokong Trump – Peguam

Penyokong Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, memanjat tembok barat Capitol AS pada awal Januari lalu di Washington. foto agensi

WASHINGTON – Peguam Donald Trump mendakwa para penyokong bekas presiden itu menyerang Kongres di Washington DC pada 6 Januari lalu atas kehendak mereka sendiri.

Perbicaraan Trump di Senat dijadualkan akan dimulai pada hari Selasa setelah beliau dihukum untuk kedua kalinya oleh Dewan Perwakilan bulan lalu.

Trump dituduh “menghasut pemberontakan” dalam ucapannya kepada para penyokong menjelang rusuhan besar-besaran itu hingga mengakibatkan kematian.

Trump memberitahu beliau tidak akan memberi keterangan.

Seorang pegawai polis meninggal dunia dalam rusuhan tersebut semasa sekumpulan penyokong Trump menyerang bangunan Capitol, memaksa ahli politik dan kakitangan bersembunyi di dalam pejabat.

Trump adalah satu-satunya Presiden Amerika Syarikat (AS) dalam sejarah yang pernah didakwa menyalahguna kuasa sebanyak dua kali.

Dalam taklimat pra-perbicaraan yang dikeluarkan pada hari Isnin, peguam bekas presiden itu menyatakan dokumen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) telah menunjukkan rusuhan itu dirancang beberapa hari sebelumnya, justeru Trump tidak boleh disabitkan sebagai mendorong keganasan.

Mereka juga menegaskan perbicaraan itu sebagai tidak berperlembagaan kerana Trump telah meninggalkan jawatannya dan kini beliau adalah individu biasa.

Mereka menyerang sembilan “pengurus pendakwaan” – Demokrat dari Dewan Perwakilan yang akan mengemukakan kes untuk pendakwaan – menuduh mereka “ketidakjujuran intelektual dan kekosongan fakta” dengan cara mereka menggambarkan ucapan Trump kepada para penyokongnya.

Para peguam Trump menyifatkan perbicaraan itu sebagai “teater politik” dan “tindakan politik kurang ajar” oleh Demokrat yang bertujuan untuk “menutup mulut pesaing politik dan parti minoriti”.

“Proses pendakwaan ini tidak pernah mencari keadilan.

“Sebaliknya, ini hanya satu usaha egois oleh kepemimpinan Demokrat di Dewan Senat untuk menimbulkan rasa takut dan kekeliruan yang menimpa penduduk Amerika di seluruh spektrum politik setelah melihat kehancuran di Capitol pada 6 Januari oleh beberapa ratus orang,” tulis peguam Trump.

Demokrat mendakwa penolakan keputusan pilihan raya secara berulang kali oleh Trump bagi membolehkan penyerahan kuasa kepada Joe Biden – serta retorik ‘berapi’ yang digunakannya dalam ucapannya kepada penyokong pada 6 Januari – mendorong kepada berlakunya rusuhan tersebut.

Peguamnya berpendapat Trump hanya menggunakan hak Pindaan Pertama untuk kebebasan bersuara.

Sebagai tindak balas, pengurus pendakwaan Dewan Senat menegaskan bahawa Trump telah “mengkhianati rakyat Amerika”.

“Hasratnya untuk memberontak terhadap pemerintah Amerika Syarikat – yang mengganggu peralihan kuasa secara damai – adalah kejahatan perlembagaan yang paling menyedihkan yang pernah dilakukan oleh seorang presiden,” kata kenyataan Dewan. – MalaysiaGazette