KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan Sindiket Orang Tengah Program Rekalibrasi dengan penahanan dua individu yang disyaki menjadi dalang dengan menipu warga asing.
Kedua-dua suspek ditahan dalam satu operasi di Pulau Pinang pada Ahad lalu.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi berkenaan dilaksanakan hasil kerjasama dan risikan Bahagian Perisikan, Analisa dan Operasi Khas JIM Putrajaya bersama JIM Pulau Pinang.
Katanya, risikan telah dijalankan pihak penguatkuasa JIM selama sebulan bagi mengesan sindiket tersebut.
“Kumpulan ini terlibat dalam kegiatan jenayah mengatur warga asing untuk mendaftar dalam Program Rekalibrasi dengan tidak mematuhi prosedur dan undang-undang yang ditetapkan.
“Hasil operasi ini kami berjaya menangkap seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun dan seorang lelaki warganegara India berumur 35 tahun,” ujarnya.
Menurut Khairul Dzaimee, siasatan awal mendapati mereka mengatur penyertaan Program Rekalibrasi yang bertentangan dengan prosedur dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan pekerja asing di negara ini.
Tambah beliau, modus operandi sindiket itu adalah dengan mengumpul warga asing yang mempunyai kesalahan Imigresen dan menjanjikan mereka akan dibawa ke Pejabat Imigresen tertentu memandangkan warga asing berkenaan tidak mendapat slot temujanji melalui Sistem Temujanji Online (STO).
Katanya, siasatan lanjut juga mendedahkan bahawa setiap warga asing dikenakan bayaran antara RM1,000 hingga RM1,500 oleh kedua-dua suspek tersebut.
Jelasnya, ia dikutip sebagai bayaran kepada sindiket berkenaan untuk menguruskan pendaftaran mereka dalam Program Rekalibrasi tanpa perlu membuat temujanji melalui STO seperti ditetapkan oleh JIM.
Ujar beliau, sindiket berkenaan disyaki bergerak aktif di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Kuala Lumpur dan Johor.
“Turut dirampas dalam operasi ini ialah sebuah motokar jenis Honda City dan wang tunai sejumlah RM4,000 daripada kedua-dua suspek yang mendalangi sindiket itu.
Kedua-dua dalang sindiket ini ditahan atas kesalahan dibawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Suspek lelaki warga tempatan itu telah dikenakan reman selama tujuh hari manakala lelaki warganegara India pula ditahan di Imigresen Pulau Pinang untuk siasatan dan tindakan lanjut di bawah Akta Migresen 1959/63.
“Dalam melaksanakan Program Rekalibrasi, Jabatan Imigresen tidak pernah melantik orang tengah atau mana-mana pihak untuk menguruskan program ini,” katanya. – MalaysiaGazette