Home Sukan Sumareh sah milik JDT

Sumareh sah milik JDT

KUALA LUMPUR – Pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh akhirnya sah menyertai juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2021.

Perkara ini diumumkan oleh JDT menerusi satu video di laman media sosial rasmi pasukan itu.

Bekas pemain sayap Pahang itu bakal menyarung jersi bernombor 13.

Sebelum ini, beberapa pasukan Liga Malaysia dikaitkan dengan Sumareh setelah dia kembali daripada beraksi di Thai League 1 bersama Police Tero FC selama enam bulan pada separuh masa pertama musim lalu.

Ketibaan Sumareh di JDT bermakna skuad Harimau Selatan itu kini memiliki dua pemain sayap utama pasukan kebangssan di samping Safawi Rasid.

Dari segi persaingan, pemain kelahiran Gambia itu juga bakal berdepan cabaran dari Safawi dan bintang muda yang sedang meningkat baik iaitu Ramadhan Saifullah dan Akhyar Rashid.

Minggu lalu, peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan berita apabila Pahang diarah membayar AS$1.2 juta (RM4.9 juta) kepada Sumareh kerana kegagalan melunaskan tunggakan gaji selama beberapa bulan.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memberikan tempoh selama 45 hari kepada Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) untuk melangsaikannya dan jika tidak, mereka akan berdepan hukuman sekatan perpindahan serta pemotongan mata liga. – MalaysiaGazette