Home Nasional Suri rumah cedera diseret kereta dipandu suami

Suri rumah cedera diseret kereta dipandu suami

PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

DUNGUN – Seorang suri rumah cedera pada bahagian muka dan badan setelah diseret kereta yang dipandu suaminya Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu mangsa, 32, sebelum itu cuba menghalang suaminya, 32 melarikan anak lelaki mereka berusia 14 bulan.

Katanya, mangsa bertindak mengetuk cermin kereta berkali-kali namun suspek terus memecut laju hingga beliau terseret dan mengalami kecederaan pada bahagian pipi, jari kelingking, jari hantu serta luka di lutut.

Pasangan suami isteri itu dalam proses perceraian dan suspek datang dari Kuala Lumpur untuk menghadiri perbicaraan perceraian mereka di Mahkamah Syariah Dungun tetapi ia ditunda.

“Pada hari kejadian, suspek berada di rumah mangsa bersama anak mereka tetapi secara tiba-tiba suspek bertindak membawa keluar bayi tersebut dan masuk ke dalam kereta,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Menurut Baharudin, kejadian yang berlaku di hadapan rumah mangsa itu turut disaksikan abangnya dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 (A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. – Bernama