Home Sukan David Alaba jual mahal, minta gaji £400,000 seminggu

David Alaba jual mahal, minta gaji £400,000 seminggu

David Alaba.

LONDON – Bek tengah, David Alaba dilaporkan meminta kontrak sehingga £20 juta semusim bersama gaji £400,000 seminggu daripada Chelsea yang berminat mendapatkan khidmatnya.

Telegraph melaporkan, jika permintaan itu dipenuhi, ia menjadikan Alaba sebagai pemain dengan gaji tertinggi dalam sejarah kelab tersebut.

Namun The Blues menganggap nilai itu terlalu tinggi dan boleh memberikan kesan kepada struktur gaji pemain di dalam pasukan untuk jangka panjang.

Pemain Bayern Munich itu perlu menerima angka yang jauh lebih rendah daripada yang diminta jika mahu menyertai Chelsea.

Alaba kini menjadi salah seorang sasaran pengurus baharu Chelsea, Thomas Tuchel untuk perpindahan musim hadapan.

Namun bukan sahaja Chelsea yang mahukan pemain tersebut sebaliknya Real Madrid juga menunjukkan minat sama.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Karl Heinz Rummenige mengesahkan Alaba hampir pasti akan meninggalkan kelab itu selepas kontraknya berakhir pada akhir musim ini.

Chelsea kini dalam proses mahu melanjutkan kontrak Thiago Silva yang menunjukkan prestasi cemerlang sejak menyertai The Blues.

Real Madrid pula masih berminat dengan Alaba kerana kemungkinan besar akan melepaskan Sergio Ramos yang kontraknya tamat pada Jun ini. – MalaysiaGazette