Home Nasional FWD Takaful tambah RM5 juta untuk dana pejuang Covid-19 KKM

FWD Takaful tambah RM5 juta untuk dana pejuang Covid-19 KKM

Adnan Mat (tengah) menunjukkan jumlah dana MOH FWD MY Heroes pada sidang media CUEPACS mengenai inisiatif dana khas untuk petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan di Wisma CUEPACS, Kuala Lumpur. foto FIKRI YAZID 10 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik inisiatif FWD Takaful Berhad yang bersetuju menyalurkan tambahan RM5 juta dalam dana MOH FWD MY Heroes untuk petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) yang dijangkiti Covid-19 ketika bertugas.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, tuntutan dana MY Heroes yang keseluruhannya berjumlah RM10 juta itu juga dilanjutkan sehingga 31 Disember tahun ini berikutan berlakunya peningkatan jangkitan dalam kes harian Covid-19 yang boleh meningkatkan risiko kepada petugas barisan hadapan KKM.

Adnan berkata, pihaknya berharap ketua-ketua jabatan di KKM dapat memaklumkan kepada semua kakitangan mereka mengenai dana MY Heroes selain memudahkan urusan dokumentasi tuntutan memandangkan terdapat sebahagian daripada lebih 4,500 petugas di kementerian terbabit dijangkiti Covid-19 ketika bertugas.

“Dana ini diuruskan oleh Pusat Khidmat Tuntutan CuepacsCare dan sejak dilancarkan pada April tahun lalu dana sejumlah RM3.23 juta telah selesai dibayar kepada petugas barisan hadapan KKM serta ahli keluarga yang dijangkiti Covid-19 ketika bertugas melibatkan kira-kira 1,015 tuntutan.

“Pada mulanya MY Heroes memperuntukkan sebanyak RM5 juta dan tambahan sebanyak RM5 juta lagi kali ini dibuat kerana FWD Takaful dan CUEPACS sebagai inisiatif menyokong barisan hadapan KKM berikutan kes jangkitan harian Covid-19 yang bertambah sejak kebelakangan ini,” katanya pada sidang media di ibu CUEPACS di ibu negara.

Tambah beliau, bantuan perlindungan takaful ini penting memandangkan mereka nerthadapan risiko terdedah kepada bahaya jangkitan pandemik itu semasa bertugas.

“Pembayaran ihsan dana MY Heroes sebanyak RM40,000 akan diberi sekiranya berlaku kematian kepada petugas barisan hadapan disebabkan oleh jangkitan Covid-19, manakala sejumlah RM10,000 akan dibayar sekiranya dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU), serta RM2,000 (wad biasa) dan RM10,000 untuk lain-lain punca kematian.

“Pembayaran ini akan memberi semangat kepada mereka untuk terus berjuang dan bertugas secara berdedikasi dalam melandaikan Covid-19 di negara ini.

“Proses permohonannya sangat mudah dan cepat yang mana borang permohonan boleh dimuat turun di atas talian dan juga menerusi CUEPACSCare.

“Tak sampai dua minggu selepas permohonan dikemukakan, petugas barisan hadapan akan menerima pembayaran itu tanpa dibebani pelbagai syarat-syarat cekik,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung CUEPACS yang juga Setiausaha Agung Persatuan Gabungan Kehormat IPTA Malaysia, Abdul Rahman Mohd Nordin mengharapkan dana berkenaan dapat diperluaskan kepada hospital-hospital IPTA yang terlibat dalam tugas barisan hadapan memerangi Covid-19. – MalaysiaGazette