KUALA LUMPUR – Hotel Espira Sri Petaling mengambil inisiatif memperkenalkan konsep pandu lalu dengan membuka gerai makanan di kawasan lobi hotel itu bagi memastikan kelangsungan operasinya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Penolong Pengurus Eksekutifnya, Mohd. Nizamri Md Yusof berkata, ia dilakukan agar pihaknya tidak lagi bergantung kepada perniagaan teras semata-mata itu dan pada masa sama perlu mencari jualan cara baharu.
Jelasnya, gerai yang beroperasi dari pukul 11 pagi hingga 5 petang pada setiap hari di sini menawarkan pelbagai menu menarik seperti laksa kari Penang, kacang pool, set bakar seperti ikan keli, ikan talapia, ikan kembung, udang dan sotong.
“Idea memperkenal konsep ini tercetus selepas kami mendapati terdapat hotel di Pulau Pinang yang mula menjual di kawasan hotel dan berfikir kenapa tidak mencuba serta sekurang-kurangnya mendapat sedikit pendapatan dari segi jualan.
“Lagi pun hotel ketika ini tidak ada tetamu yang daftar masuk, jadi apa yang kami harapkan daripada jualan makanan dan minuman.
“Pada hari pertama beroperasi semalam, kita tidak menyangka mendapat sambutan yang di luar jangkaan sebanyak lebih 80 set menu terjual dan berharap dapat menggandakan kuantiti makanan selepas,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette semasa mempromosikan set menu secara pandu lalu di hotel tersebut hari ini.
Mohd. Nizamri menambah, proses pandu lalu yang diperkenalkan itu hanya mengambil antara 10 hingga 15 minit bermula daripada membuat tempahan, persediaan hingga makanan siap.
Jelas beliau, pelanggan tidak perlu keluar daripada kereta mereka kerana terdapat kakitangan hotel yang datang kepada mereka untuk mengambil tempahan dan menyelesaikan pembayaran.
“Ketika ini, semua hotel tidak perlu fikir ‘bintang’ yang dimiliki dan perlu fikir secara kreatif apa yang perlu dibuat selepas sukar untuk menjual bilik.
“Jadi kita fokus kepada makanan dan minuman kerana semua orang perlu makan dan minum. Namun kalau kita beroperasi di dalam coffee house sahaja, orang tidak nampak yang kita jual. Jadi konsep pandu lalu ini semua orang boleh nampak,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Nizamri turut memberitahu orang ramai kini juga boleh menikmati dalam Coffee House hotel dengan mematuhi prosuder operasi standard (SOP) dengan dua pelanggan untuk satu meja.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Espira Sri Petalung di 03-9058 2323 atau whatsapp di talian http://www.wasap.my/60173905835/drivethru. – MalaysiaGazette