Home Ekonomi Jumlah penduduk Malaysia 32.7j suku keempat tahun lalu

Jumlah penduduk Malaysia 32.7j suku keempat tahun lalu

KUALA LUMPUR – Jumlah penduduk Malaysia pada suku tahun keempat 2020 dianggarkan 32.73 juta orang, meningkat 0.4 peratus berbanding suku tahun keempat 2019 (32.59 juta).

Jumlah penduduk ini merangkumi 29.85 juta orang (91.2%) warganegara dan 2.87 juta orang (8.8%) bukan warganegara.

Penduduk berumur 0-14 tahun (umur muda) pada suku tahun keempat 2020 menurun daripada 7.63 juta pada suku tahun keempat 2019 kepada 7.57 juta.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pada suku tahun keempat 2020, penduduk lelaki melebihi penduduk perempuan iaitu masing-masing 16.83 juta dan 15.90 juta.

Nisbah jantina penduduk kesuluruhan (warganegara dan bukan warganegara) adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan manakala nisbah jantina penduduk warganegara adalah 102 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Tiga negeri yang mencatatkan komposisi penduduk tertinggi pada suku tahun keempat 2020 ialah Selangor (20.0%) diikuti oleh Sabah (11.9%) dan Johor (11.6%).

Sebaliknya, Labuan mencatatkan komposisi penduduk terendah iaitu 0.3 peratus.

”Penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 22.72 juta (suku tahun keempat 2019) kepada 22.82 juta pada suku tahun keempat tahun ini. Manakala, penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 2.24 juta kepada 2.34 juta bagi tempoh yang sama.

”Trend ini adalah selari dengan negara-negara maju yang menuju ke arah penuaan penduduk,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jumlah kelahiran hidup direkodkan pada 2020 adalah 468,975 kelahiran.

Sebanyak 121,251 kelahiran hidup direkodkan pada suku tahun keempat 2020, menurun sebanyak 2.5 peratus berbanding suku tahun keempat 2019 (124,384 kelahiran).

Tambahnya, sepanjang tempoh itu,  kelahiran bayi lelaki melebihi bayi perempuan iaitu 62,859 berbanding perempuan (58,392 kelahiran).

Selangor kekal mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 22,840 kelahiran (18.8%) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Labuan (424 kelahiran: 0.3%)”.

Jumlah kematian pada 2020 direkodkan sebanyak 174,313 kematian dan sebanyak 44,390 kematian telah direkodkan bagi suku tahun keempat 2020, menurun sebanyak 0.4 peratus berbanding suku tahun keempat 2019 (44,566 kematian).

Sejumlah 25,938 kematian adalah lelaki sementara 18,452 kematian adalah perempuan.

Bagi tempoh yang sama, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 6,759 kematian (15.2%) manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 56 kematian sahaja (0.1%).

Kematian disebabkan Covid-19 pada 2020 direkodkan sebanyak 471 kematian (0.3%) daripada keseluruhan kematian. – MalaysiaGazette