KUALA LUMPUR – Bekas kapten pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim akan kembali menyarung jersi kelab itu bagi saingan Liga Malaysia musim baharu yang bermula 5 Mac ini.
Berita itu diumumkan melalui satu video yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi JDT hari ini.
Menerusi video berkenaan, ketibaan pemain tengah itu disambut oleh Matthew Davies dan Aidil Zafuan Abdul Radzak.
Pemain berusia 34 tahun ini sebelum ini pernah menyarung jersi skuad Harimau Selatan bermula tahun 2013 hingga 2018 sebelum berpindah ke Melaka United.
Sementara itu, dalam laman Instagram JDT, pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuat komen ringkas sekaligus mengesahkan kepulangan pemain berkenaan.
“Welcome Home SR8. 8 for mission 8,” tulisnya ringkas di ruangan komen.
Sepanjang kariernya bersama JDT, Safiq membantu pasukan itu menjuarai beberapa piala termasuklah Piala Malaysia, Piala FA, Piala Sumbangsih, kejuaraan Liga Super dan Piala AFC.
Pemain yang turut dinobatkan sebagai pemain terbaik Piala AFC 2015 itu dijangka kembali menyarung jersi No. 8. – MalaysiaGazette