MUTAKHIR ini kes Covid 19 meningkat secara mendadak di Malaysia. Peningkatan kes positif Covid 19 jugak selari dengan kadar kematian akibat ketidaktahanan badan dalam
menghadapi ancaman Covid 19 ini. Kematian demi kematian saban hari meningkat
disebabkan kes harian yang meningkat meningkat serta belum ada ubat yang hadir bagi
menghalang keganasan wabak ini. Bagi pesakit yang sudah mempunyai sakit kronik dan
imunisasi yang rendah kadang- kadang terpaksa kecundang dalam melawan wabak ini.
Dalam kita menghadapi kes Covid ini, kes kematian disebabkan perkara lain juga
meningkat. Kadar kes kematian disebabkan oleh kes jenayah, bunuh diri, kes bunuh,
penderaan sehingga mati juga meningkat disebabkan oleh keadaan PKP yang berterusan.
Ada beberapa pihak yang tidak dapat meneruskan kelangsungan hidup di atas faktor
faktor keterbatasan bekerja, kekurangan harta benda untuk makan, ketiadaan duit untuk
menyediakan persediaan pengajaran secara atas talian untuk anak-anak serta keadaan
yang tidak kondusif dirumah menyebabkan bertambah tekanan perasaan.
Tekanan perasaan ini kadangkala tidak dapat dikawal disebabkan oleh kurangnya keimanan dan jati diri. Tekanan perasaan yang berterusan jika tidak dapat dikawal kadangkala boleh menyebabkan pergaduhan yang berlarutan dan kadangkala boleh menyebabkan sehingga membunuh diri.
Di antara jenis kematian yang memerlukan post-mortem adalah kemalangan
jalan raya, jatuh bangunan, kematian di tempat kerja, keracunan, sakit jantung dan lain-lain lagi. Namun yang lebih penting dalam keadaan dunia ditimpa musibah penyakit Covid-19 ini adalah tugas yang disandang oleh ahli patologis forensik yang terpaksa berhadapan dengan kes-kes kematian yang tidak disangka-sangka.
Sebagai contoh yang paling mudah dan sering di hadapi oleh pihak polis adalah menyiasat kes kematian secara tiba-tiba pada seorang lelaki yang tiada sejarah hidup mempunyai kontak rapat dengan seseorang yang ada Covid-19 dan tiada sejarah yang boleh didapati dari orang sekeliling mengenai sebarang petanda penyakit seperti batuk, demam dan sakit tekak, maka ini mendatangkan kesukaran bagi pihak hospital untuk menentukan samada perlu dibuat ujian Covid-19 ataupun tidak.
Keadaan ini merupakan satu dilema bagi pihak hospital samada untuk terus melakukan post-mortem ataupun menunggu dahulu keputusan ujian Covid-19. Dalam pada menunggu keputusan ujian Covid-19 ini, pelbagai masalah timbul dalam kalangan keluarga yang menunggu yang mahu mempercepatkan pengurusan pengebumian
simati. Namun, alhamdulillah sekarang pihak keluarga telah pun semakin faham dan akur
dengan prosedur ini, dan mereka bersabar menunggu ujian pada simati.
Setelah ujian dijalankan, sekiranya didapati negatif, maka dengan cepat proses post mortem (bedah siasat) boleh dijalankan oleh pihak hospital untuk memberikan sebab kematian di akhir pemeriksaan. Masalahnya ini tidak semua kes kematian berakhir dengan post-mortem, ada yang terpaksa ditolak ke hospital lain semata-mata kerana ujian menunjukkan positif Covid-19.
Hospital yang ada kemudahan asas bagi menjalankan post-mortem bagi kes-kes Covid sangat terhad dan mereka juga menghadapi ujian yang berat dari segi prasarana bagi kes yang sedia ada dan kes yang mendatang dari sekeliling lembah Kelang. Hospital yang tiada kemudahan seperti ini terpaksa membuat panggilan pada hospital lain bagi memudahkan pemindahan kes untuk dijalankan post-mortem di hospital yang lain.
Ini semua melibatkan banyak persediaan dari segi mental di kalangan kakitangan yang terlibat samada boleh menerima kes sebegini hanya kerana ujian menunjukkan Covid positif. Sebarang masalah di peringkat ini terpaksa diketepikan bagi menangani masalah di hadapan mata agar tidak terlepas pandang dan terabai begitu saja.
Segala pengorbanan harus dicurahkan selagi mampu dan terdaya. Persediaan mental dan tahap kesabaran yang tinggi amat penting bagi kakitangan hospital yang menerima kes sebegini. Mereka bukan sahaja harus bertenang, malah harus berkebolehan membuat penilaian kes yang diterima secara professional dan matang. Sebarang kesilapan akan mengundang masalah samada dari segi kesilapan rekod perubatan atau medikolegal mahupun kesilapan teknikal.
Bagi hospital yang tiada kemudahan Covid-19 iaitu yang bukan disetarakan sebagai hospital Covid, sudah tentu segala persiapan dari pelbagai sudut harus disediakan dan pemantapan dari segi bilik gerakan, kemudahan asas pelindung diri dan ujian Covid serta kemudahan PPE (personal protective equipment – alat pelindung diri) harus ada bagi anggota barisan hadapan.
Pada masa ini, semua kes yang diterima di hospital terpaksa menjalani ujian RTK Ag
dahulu bagi proses saringan sebelum boleh menjalani post-mortem. Sekiranya, didapati
positif barulah disahkan pula dengan ujian PCR dan jika ini disahkan positif juga, maka
pihak hospital akan merujuk kepada Inspektor kesihatan di pejabat kesihatan daerah bagi
urusan pengebumian segera oleh pegawai kesihatan daerah tanpa melalui proses post-
mortem maupun pengurusan jenazah.
Kesemua kes yang positif Covid harus dibuat notifikasi pada pejabat kesihatan daerah dan negeri. Bagi hospital yang mempunyai kemudahan mortuari BSL 3 (biosafety level 3 postmortem suite), maka mereka berkeupayaan untuk menjalankan post-mortem ke atas kes-kes kematian tersebut dengan mematuhi segala peraturan lengkap dengan pemakaian PPE tahap 3 bagi melindungi diri dari jangkitan Covid-19.
Allah SWT berfirman bahawa “Di mana saja kamu berada, kematian akan
mendapatkan kamu, kendatipun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kokoh, dan jika
mereka memeroleh kebaikan, mereka mengatakan, ‘Ini adalah dari sisi Allah,’ dan kalau
mereka ditimpa suatu bencana mereka mengatakan, ‘Ini (datangnya) dari sisi kamu
(Muhammad).’ Katakanlah, ‘Semuanya (datang) dari sisi Allah.’ Maka mengapa orang-orang itu (orang munafik) hampir-hampir tidak memahami pembicaraan sedikit pun?” (QS an-Nisaa` [4]: 78)
Sesungguhnya kematian itu pasti dan tidak dapat dielakkan. Manusia merupakan
makhluk terhormat dan mulia di sisi Allah. Oleh karena itu, perlindungan dan perhormatan terhadap jiwa manusia merupakan tuntutan ajaran Islam yang wajib dikerjakan. Nyawa manusia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT. Ini kerana penjagaan nyawa ataupun hifzhu an-nafs merupakan salah satu dari lima maqashid syariat yang diungkapkan oleh As-syathibi dalam karyanya Al-Muwafaqat. Moga proses pengendalian mayat dapat dijalankan dengan baik bagi memastikan hak si mati dan waris dapat dilaksanakan dengan teratur walaupun dalam keadaan Covid-19 yang melanda dunia kini. Wallahualam.
Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Anatomi,
Fakulti Pergigian,
Universiti Sains Islam Malaysia
Prof Dr Faridah Mohd Nor
Pakar Patologi Forensik
Fakulti Perubatan
Universiti Kebangsaan Malaysia