SHAH ALAM – Bekas Timbalan Menteri Besar Selangor, Datuk Abu Sujak Mahmud, meninggal dunia di kediamannya di Seksyen 4, di sini kira-kira pukul 6 petang tadi.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Kamaruzzaman Johari ketika dihubungi berkata, Allahyarham Abu Sujak, 82, meninggal dunia disebabkan sakit tua.
“Berita kematian itu dimaklumkan oleh anak saudara Allahyarham petang tadi. Difahamkan jenazah Allahyarham masih di rumahnya dan ziarah pada malam ini hanya untuk keluarga terdekat sahaja.
“Jenazah Allahyarham akan disolatkan di Surau Seksyen 4 esok, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Datuk Dagang, Kampung Jawa, Klang,” katanya.
Kamaruzzaman yang kali terakhir bertemu Allahyarham semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 lepas menyifatkan, Allahyarham sebagai seorang yang baik, suka menolong dan berpegang kuat kepada agama.
Allahyarham Abu Sujak yang merupakan anak jati Kampung Jawa, Klang memegang jawatan sebagai Timbalan kepada bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib pada November 1989, sehingga Pilihan Raya Umum 1990.
Selain itu, Allahyarham juga merupakan Datuk Bandar Shah Alam yang pertama dilantik pada 10 Oktober 2000. – Bernama