
KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof menasihati orang ramai agar tidak memandang nilai kompaun yang dikenakan akibat kegagalan mematuhi prosuder operasi standard (SOP) sebagai isu.
Jelas beliau, kerajaan tidak berniat untuk membebankan rakyat namun hukuman dikenakan bagi memastikan rakyat patuh kepada undang-undang sepanjang penularan wabak Covid-19.
Menurutnya, apa yang penting masyarakat mematuhi SOP agar dapat membantu kerajaan dalam membantu merancakkan ekonomi semula.
“Saya nasihatkan jangan lihat nilai kompaun, kita boleh buat RM10,000 kalau nak. Saya nasihatkan orang awam kita buat ini bukan sengaja hendak bebankan rakyat namun agar kita patuh SOP yang diwujudkan, kita tak suka pun hendak buat sekatan jalan raya, sebab ia membebankan rakyat juga.
“Tetapi kita terpaksa buat juga, sebab ada yang tidak patuh, macam saya pergi Melaka baru-baru ini, saya tanya berapa orang yang bertugas, empat orang sahaja, maksud kita tidak mahu empat orang kalau mereka bergejala, mak bapa kena, cucu dia kena, jadi kita terpaksa buat begitu,
“Saya nasihat pada awam , jangan pandang pada kompuan, patuh undang undang-undang. Ordinan Darurat sudah buat dan sebagai kita faham, untuk membantu ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawaran di pusat membeli-belah Pavilion di sini hari ini.

Mohd. Redzuan memberitahu, kerajaan juga berhasrat untuk menempatkan para sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kampung dan bandar dalam masa terdekat.
Jelas beliau, golongan ini berperanan untuk menegur dan memantau masyarakat agar faham mengenai SOP yang ditetapkan.
“Hanya orang yang degil kita terpaksa hukum mereka ikut undang-undang yang sedia ada kerana mereka menjadi ejen penyebaran dan pembawa membahaya kepada orang sekeliling kita.
“Jadi sukarelawan dan NGO diperkasakan untuk memberi nasihat kepada mereka yang diletak di kampung, pinggir bandar dan luar bandar.
“Contohnya kita akan perkasa jawatan kuasa kampung di mana penghulu kalau dapat sentiasa memantau kawasan komunitinya kepada sistem kesihatan sedia ada jika terdapat,” katanya. – MalaysiaGazette
