KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua (2.0) sejak 13 Januari bukan sahaja merupakan satu tamparan kepada penggiat industri sukan bola sepak di negara ini.
Malah pengelola bola sepak akar peringkat umbi semuanya ‘terduduk’ selepas mendengar pengumuman tersebut.
Pemilik akademi bola, Shaik Awish Alkirani Shaik Haronarashib mengakui PKP 2.0 lebih teruk impaknya berbanding ketika kali pertama perintah itu dilaksanakan.
Kata pengasas Akademi Wira Muda (AWM), ini kerana pihaknya terpaksa menghentikan latihan dan menutup padang sebelum sempat akademi bernafas balik.
“Gara-gara arahan itu, AWM tidak lagi mengenakan yuran bulanan kepada pelatih selain tidak menganjurkan kejohanan akar umbi..
“Jadi bila semua kena dihentikan, akademi tiada lagi pendapatan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Shaikh Awish yang juga bekas pemain Liga Premier berkata, PKP memberi impak paling besar kepada mentalnya apabila perasaan sedih dan kecewa timbul kerana akademi bola sepak menjadi mangsa keadaan.
“Orang tidak tahu semasa PKP kali pertama pada Mac lepas, pendapatan akademi ini terjejas teruk.
Tambah Shaikh Awish, ketika PKP Bersyarat dan Pemulihan, aktiviti sukan dibenar dibuka semula oleh kerajaan pada Ogos lepas, keadaan menjadi bertambah baik.
“Jumlah pelatih akademi mula meningkat kembali walaupun tidak setinggi sebelum penularan wabak Covid-19.
“Semasa tempoh ini juga, kami telah berusaha keras untuk mengembalikan tahap kecergasan pelatih dengan menganjurkan kejohanan akar umbi.
“Tapi apabila PKP diumum buat kali kedua, jujur cakap saya memang kecewa kerana menjadi mangsa keadaan namun reda dengan apa yang terjadi,” katanya.
Namun Shaik Awish bersyukur kerana terdapat beberapa pihak yang tampil memberi bantuan untuk mengurangkan beban yang ditanggungnya.
Antaranya penaung akademi yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal merangkap Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman menaja dua kabin untuk dijadikan pejabat, surau dan stor kepada AWM.
Beliau menaja tiang gol dan barangan sukan sebelum akademi itu operasi .
“Akademi ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan beliau menerusi kerjasama serta komitmen yang akan dapat memajukan lagi sukan bola sepak ini khususnya di daerah Nibong Tebal .
“Tidak lupa jugak kepada Pengarah MARA Excellence Center (MEC), Tuan Syed Saifuddin Syed Ahmad yang banyak menyokong program AWM dan memberikan kebenaran menggunakan kemudahan yang ada di MEC selain tidak mengenakan bayaran sewa kepada akademi kerana memahami akademi tidak mempunyai sumber pendapatan sepanjang PKP.
“Alhamdulillah baru-baru ini akademi berjaya menyiapkan padang bola yang lengkap dengan lampu limpah untuk latihan pada waktu malam,” katanya.
Shaikh Awish berkata, dengan kemudahaan yang lengkap, AWM telah berjaya melahirkan 17 pemain yang akan mewakili Akademi Tunas, Program Pembangunan Bolasepak Negara.
Katanya, lebih membanggakan, seorang pemain AWM terpilih untuk menyertai Akademi Mokhtar Dahari Sesi 2022 dan empat pemain ke sekolah Pusat Latihan Daerah ( PLD ) .
Tambah beliau, AWM juga akan terlibat dalam program bola sepak negara, Super Rimau anjuran FAM pada tahun ini.
Sementara itu, AWM yang ditubuhkan pada Oktober 2018 pada awalnya hanya memiliki jumlah pelatih seramai 80 orang namun ia bertambah secara mendadak, melebihi 150 orang ketika ini.
Pelatih yang dipilih dibahagikan kepada empat peringkat umur iaitu bawah lapan tahun, 10 tahun, 12 tahun dan 15 tahun.
Mereka yang terpilih menyertai akademi ini dibekalkan dengan jersi khas dan kelengkapan peralatan sukan terkini.
Pemain akademi ini akan berlatih selama empat jam seminggu dan diberi bimbingan sepenuhnya oleh jurulatih professional .
AWM kini berdaftar dengan Suruhanjaya Sukan Malaysia dan di bawah naungan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang. – MalaysiaGazette