Home Nasional PKJRM 2021– 2030 dilancar pada suku ketiga tahun ini

PKJRM 2021– 2030 dilancar pada suku ketiga tahun ini

Pejabat Kementerian Pengangkutan

KUALA LUMPUR – Semua program, inisiatif dan langkah intervensi yang telah dilaksanakan di bawah Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia Tahun 2014 – 2020 (PKJRM 2014 – 2020) berjaya menurunkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya dengan purata penurunan pada kadar 4.8% setahun antara tahun 2016 (7,152 kematian) hingga 2019 (6,167 kematian).

Sasaran penurunan Indeks Kematian juga telah dicapai iaitu daripada 3.4 pada tahun 2010 kepada 1.97 pada tahun 2019 (sasaran 2.0)

Kementerian Pengangkutan berkata, pencapaian dan kejayaan PKJRM 2014 – 2020 adalah merupakan hasil kerjasama dan sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, sektor swasta dan semua lapisan masyarakat.

Susulan itu, semua program, inisiatif dan langkah intervensi di bawah PKJRM 2014 – 2020 yang telah berjaya dilaksanakan akan diteruskan dan ditambahbaik dalam PKJRM 2021– 2030.

Menurutnya, pelan ini sedang dalam proses pembangunan oleh MOT dan dijangka dilancarkan dalam suku ketiga tahun 2021.

Sasaran atau objektif) utama PKJRM 2014-2020 untuk mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya sehingga 50% menjelang tahun 2020.

Berdasarkan analisa ke atas data kemalangan di dalam situasi. yang mana tiada sebarang langkah intervensi dilaksanakan, kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia dijangka meningkat sebanyak 56% iaitu dari 6,872 kematian pada tahun 2010 kepada 10,716 kematian pada tahun 2020.

Oleh yang demikian, PKJRM 2014- 2020 telah digubal dengan mengandungi lima bidang fokus utama termasuk pengurusan keselamatan jalan raya, pengguna jalan raya yang lebih selamat dan pengurusan pasca kemalangan.

Kesemua bidang utama ini mengandungi pelbagai inisiatif, program dan langkah intervensi yang telah dirangka bertujuan meningkatkan kesedaran dan pematuhan kepada undang-undang, seterusnya menyumbang kepada peningkatan tahap keselamatan di jalan raya. – MalaysiaGazette

+ posts