Home Nasional Ahli Parlimen perlu jadi kumpulan pertama diberi vaksin Covid-19

Ahli Parlimen perlu jadi kumpulan pertama diberi vaksin Covid-19

Covid-19 vaccine cancer survivors people with disabilities

KUALA LUMPUR – Semua Ahli Parlimen sepatutnya menjadi kumpulan pertama yang diberikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Vaksin Covid-19 Kebangsaan yang akan dilancarkan.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang berkata, golongan ini wajar menjadi kumpulan pertama menerima vaksin berkenaan kerana mereka adalah wakil yang dipilih rakyat dan seharusnya menjadi contoh bagi ikutan yang lain.

“Apatah lagi mereka perlu menjadi contoh teladan kepada rakyat di kawasan Parlimen masing-masing dengan menjadi kumpulan pertama menerima suntikan vaksin.

“Pembabitan Ahli Parlimen sebagai kumpulan pertama ini boleh menyuntik semangat dalam kalangan rakyat, khususnya di kawasan masing-masing untuk turut menjayakan program itu.

“Ini adalah satu perkara yang perlu dilakukan bagi meluncarkan Program Imunisasi Vaksin Covid-19 Kebangsaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Amrahi berkata, kerajaan juga disaran membabit dan memperkasakan komuniti demi mencapai objektif utama program imunisasi berkenaan melalui pencapaian imuniti kelompok secepat mungkin.

“Tanpa pembabitan aktif daripada komuniti, program imunisasi ini berkemungkinan menjadi pincang,” ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, mengumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi warganegara Malaysia pertama untuk menerima vaksin Covid-19.

Vaksin Cominarty keluaran Pfizer BionTECH dijangka tiba di Malaysia pada hujung bulan ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Para pesakit Covid-19 sepatutnya kumpulan utama disuntik vaksin kebal supaya lekas sembuh barulah kumpulan lain menyusul, kenapa tidak?

Comments are closed.