Home Dunia BBC News World diharamkan di China

BBC News World diharamkan di China

BEIJING – Saluran televisyen Britain BBC World News dilarang disiarkan di China.

Tindakan itu dibuat selepas pengawal selia media Britain membatalkan lesen televisyen negara China untuk disiarkan di United Kingdom.

Pentadbiran Radio dan Televisyen Nasional China mengatakan siasatan mendapati laporan berkaitan BBC World News dari China telah “melanggar undang-undang” secara serius, kerana telah merosakkan kepentingan dan perpaduan nasional.

Oleh itu, saluran tersebut tidak memenuhi syarat untuk penyiaran saluran asing di China dan permohonannya untuk disiarkan selama satu tahun lagi tidak akan diterima, tambahnya.

BBC World News berbahasa Inggeris tidak termasuk dalam kebanyakan pakej saluran TV di China, tetapi terdapat di beberapa hotel dan kediaman.

Keputusan China itu dikutuk oleh Menteri Luar Britain, Dominic Raab dan Jabatan Negara Amerika Syarikat.

“Keputusan China untuk melarang BBC World News di China adalah pengekangan terhadap kebebasan media, sesuatu yang tidak dapat diterima.

“China mempunyai beberapa sekatan yang paling teruk terhadap kebebasan media dan Internet di seluruh dunia dan langkah terbaru ini hanya akan merosakkan reputasi China di mata dunia,” kata Raab.

BBC pula menyifatkan keputusan Beijing mendukacitakan.

“BBC adalah penyiar berita antarabangsa yang paling dipercayai di dunia dan melaporkan kisah dari seluruh dunia dengan adil, tidak berat sebelah dan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” kata BBC.

Awal bulan ini, Jabatan Negara Amerika Syarikat berkata, pihaknya “sangat terganggu” dengan laporan yang dibuat oleh BBC mengenai pemerkosaan dan penderaan seksual secara sistematik terhadap wanita di kem tahanan etnik Uighur dan umat Islam lain di wilayah Xinjiang.

Lantaran itu, perlu ada satu tindakan serius bagi kekejaman di sana.

China menyangkal tuduhan di Xinjiang dan mengatakan laporan BBC itu “keseluruhannya tanpa fakta”.

Pada 4 Februari lalu, pengawal selia media Britain, Ofcom membatalkan lesen China Global Television Network (CGTN) untuk disiarkan di United Kingdom setelah siasatan mendapati lesen tersebut dipegang oleh Star China Media Ltd. – MalaysiaGazette