KUALA LUMPUR – Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI), syarikat tenusu terkemuka negara kekal optimis mengenai prospek perniagaannya untuk tahun 2021.
DLMI berjaya mencatatkan hasil pendapatan syarikat yang konsisten pada tahun lalu walaupun suasana ekonomi yang mencabar berpunca daripada isu pandemik global Covid-19 yang menjurus kepada pelaksanaan pelbagai siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarah Urusan DLMI, Tarang Gupta berkata DLMI telah melaksanakan beberapa langkah strategi syarikat dalam menangani kesan ke atas pendapatan syarikat dengan dipacu oleh asas-asas dalaman yang kuat berserta dengan pelbagai inisiatif
pemulihan ekonomi yang diterajui oleh kerajaan.
”Komitmen jangkamasa panjang DLMI di Malaysia merupakan cerminan ke atas kejayaan ekonomi negara yang berterusan, hasil daripada dasar-dasar ekonomi yang konsisten dan berkesan oleh kerajaan,” menurut Tarang sempena ucapan Tahun Baru Cina.
Katanya, DLMI turut komited dalam membuat pelaburan semula ke dalam pasaran ekonomi domestik negara.
Tambah beliau, dengan pelbagai inisiatif pelaburan syarikat pada tahun lepas, DLMI akan terus memainkan peranan selaku rakan industri kepada kerajaan dalam memajukan dua agenda nasional melalui jaminan keselamatan bekalan makanan negara melalui Program ‘Farmer2Farmer’.
Ia merupakan sebahagian daripada Program Pembangunan Tenusu DLMI yang berterusan dan juga sokongan DLMI kepada kerajaan dalam perihal agenda kesihatan kebangsaan untuk meningkatkan taraf kesihatan dan nutrisi yang lebih baik untuk rakyat.
”Kami telah membuat pelaburan untuk masa hadapan. Ini terbukti melalui pembelian hartanah syarikat di Bandar Enstek di Negeri Sembilan seperti pengumuman kami pada tahun lepas, sebagai persediaan untuk membina fasiliti pengilangan akan datang, sejajar
dengan pelan jangka panjang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran,” menurut Tarang.
Katanya, fasiliti pengeluaran terbaharu ini kelak bakal membolehkan DLMI merealisasikan misi syarikat dalam menyediakan khasiat terbaik kepada negara, memenuhi permintaan pelanggan dan menangani isu penyakit tidak berjangkit seperti obesiti dan
tumbesaran terbantut dalam kalangan generasi muda. – MalaysiaGazette