SEREMBAN – Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam, akan membincangkan mengenai garis panduan pengambilan vaksin bagi umat Islam, ketika bulan Ramadan nanti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, panduan itu akan diumumkan setelah perbincangan mendalam dilakukan bersama semua pihak, dalam mesyuarat yang akan diadakan pada Selasa atau Rabu depan.
“(Dalam mesyuarat) Kita akan sentuh beberapa isu mengenai pengambilan vaksin semasa siang hari pada Ramadan bagi mereka yang berpuasa dan mereka yang ingin ke pergi Mekah untuk menunaikan Haji… ia akan dibahas dan diputuskan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
“Kita akan lihat dan teliti satu persatu,” katanya.
Dalam pada itu, Zulkifli menyatakan kesediaannya menjadi antara yang terawal menerima suntikan vaksin COVID-19 selepas bekalannya sampai di negara ini nanti, dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi individu pertama bakal disuntik vaksin Pfizer.
Pada 4 Feb lalu, Muhyiddin berkata kerajaan akan memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mulai hujung bulan ini, dengan kerajaan menyasarkan 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu, menerima vaksin yang akan diberikan secara percuma dalam tiga fasa.
Fasa pertama dari Februari hingga April adalah untuk 500,000 petugas barisan hadapan, fasa kedua dari April hingga Ogos kepada kumpulan berisiko tinggi termasuk warga emas berusia 60 tahun ke atas, serta fasa ketiga pula bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas dari Mei ini hingga Februari tahun depan. – MalaysiaGazette