SEJAK berlakunya wabak covid 19, pelbagai sektor samaada dalam kerajaan atau swasta
terkesan dengan berlakunya perubahan yang mendadak dari segi pengurusan dan tindakan dalam sesebuah institusi. Sektor atau bidang pendidikan juga tidak terkecuali terlibat dalam perubahan ini. Berlaku transformasi secara mendadak sehingga 360 darjah, dimana norma baharu telah mengubah cara pembelajaaan daripada bersemuka 100% ke secara dalam talian 100%.
Pelbagai pihak menzahirkan kerisauannya terhadap keselamatan anak anak mereka jika
pelajaran bersemuka dijalankan dikala wabak covid 19 sedang mengganas.
Walau bagaimanapun, kelewatan permulaan dalam pelajaran juga menjejaskan aktiviti
pembelajaran anak anak. Wabak ini bukan sahaja mengambil masa sehari dua untuk selesai, ia mungkin mengambil masa beberapa tahun atau lebih daripada itu. Hendak atau tak hendak, kehidupan hendaklah diteruskan seperti biasa tetapi perlu kreatif dan berinovatif dalam menghadapi kehidupan dalam norma baharu.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) menggariskan setiap murid hendaklah mendapat akses kepada pendidikan untuk mencapai potensi diri dan mereka mesti berpeluang mengikuti proses pendidikan, meskipun mereka tidak dapat hadir ke sekolah. Sejak wabak Covid 19 melanda Malaysia, satu program Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diperkenalkan sebagai alternatif pembelajaran norma baharu.
PdPR boleh dilaksanakan dalam talian atau luar talian dengan perancangan yang berstruktur dan terancang. Anak-anak bersekolah hendaklah mempunyai akses Internet yang ideal dan optimum demi melangsungkan perjalanan aktiviti pembelajaran atas talian. Pelbagai inisiatif kerajaan telah dilakukan demi menjaga kemaslahatan meraka, antaanya bantuan peranti dan wifi kepada murid daripada keluarga yang kurang berkemampuan. Yang terbaharu, Telekom Malaysia Berhad (TM) Negeri Sembilan menyediakan perkhidmatan wifi percuma kepada anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah dan B40.
Ibu bapa pula hendaklah memainkan peranan yang sangat penting dan bersifat seperti
hero agar perancangan pendidikan yang telah dirancang oleh pihak sekolah. Sebagai melangsungkan aktiviti pengajaran di rumah, ibu bapa perlulah menyediakan komputer atau komputer riba yang bersesuaian dengan teknologi terkini. Ibu bapa lah yang menjadi peranan besar untuk memastikan keseragaman pembelajaran berada dalam tahap yang memuaskan. Ibu bapa hendaklah bersedia dengan segala kemungkinan yang berlaku sepanjang proses pembelajaran tersebut seperti masalah Internet, terlupa kata kunci, pengubahsuaian kamera dan sebagainya.
Di samping pembelajaran anak-anak secara dalam talian, ibu bapa memainkan peranan
besar sebagai guru kedua. Ibu bapa hendaklah memastikan jadual persekolahan dan kerja rumah diawasi dengan lancar. Semua kemusykilan mungkin akan diutarakan didalam sosial media persekolahan anak-anak mereka. Bagi memastikan pembelaran mereka berada dilandas yang betul, ibu bapa hendaklah memastikan semua buku teks dan latihan yang digunakan adalah bersesuaian dengan kehendak persekolahan masing-masing. Tambahan lagi, ibu bapa hendaklah memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selesa.
Anak-anak memerlukan suasana sekeliling yang tidak bising disebabkan mereka hanya fokus kepada percakapan guru semata-mata. Pencahayaan, pengudaraan dan tempat belajar yang ergonomik juga memainkan peranan besar dalam kesihatan persekitaran mereka. Ibu bapa juga perlu menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak terutamanya ketika berkomunikasi dengan guru-guru sekolah. Segala perbuatan ibu bapa akan diikuti dan dilihat oleh anak-anak sepanjang keberadaan mereka di dalam rumah.
Pada keadaan norma baharu ini, ibu bapa juga hendaklah memastikan adab dan tatatusila pengajaran atas talian berlangsung dengan aman. Anak-anak hendaklah bersedia ketika mana diarahkan untuk menayangkan muka dan membuka suara mereka. Etika memohon meninggalkan kelas atas urusan peribadi juga hendaklah dititik beratkan supaya pembelajaran dapat diteruskan dengan aman. Tambahan pula, pemakaian yang bersesuaian juga mempengaruhi kelangsungan pengajaran yang kondusif.
Demi menjaga kestabilan emosi anak-anak, pelbagai inisiatif dilakukan oleh para ibu
bapa. Antaranya adalah penyediaan hiburan yang bersesuaian, penyediaan makan minum
yang mencukupi dan pemantauan aktiviti sosial media yang bermanfaat. Berdasarkan Pakar Obstetrik dan Ginekologi PPUKM, Prof. Datuk Dr. Harlina Halizah Hj. Siraj, ciri-ciri
keluarga idaman adalah mampu meluahkan kasih sayang dan penghargaan; komitmen dan iltizam untuk menyokong satu sama lain; mampu melaksanakan komunikasi positif dan efektif, memperuntukkan masa berkualiti; rumah sebagai tempat yang selamat dan
kesejahteraan spiritual.
Oleh itu, landasan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu para ibu bapa untuk mewujudkan suasana kekeluargaan idaman yang kondusif terutamanya semasa
wabak pandemik ini dimana anak-anak menghabiskan kebanyakan masa mereka di dalam
rumah. Firman Allah SWT, “Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cobaan
(bagimu), di sisi Allah-lah pahala yang besar.” Allah SWT menjelaskan bahwa harta dan
anak-anak adalah fitnah, yakni ujian terhadap hamba-Nya, untuk diketahui siapa yang taat dan siapa yang durhaka.
Anak anak adalah harta dan amanah oleh Allah SWT kepada ibu bapa. Ibu bapa
hendaklah menjalankan tanggungjawab yang sebaik baiknya bagi memastikan anak anak
diberi nafkah, pendidikan serta kasih sayang dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan ujian dan ragam ini. Jangan biarkan kehidupan mereka tidak dipandu dengan baik kerana semuanya akan dipersoalkan diakhirat kelak. Ibu bapa jadilah hero kepada anak anak dan hiasilah rumah dengan harmoni dan keimanan.
Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Anatomi
Fakulti Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia.
Dr Razif Abas,
Pensyarah Anatomi,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
Universiti Putra Malaysia.