PENGUMUMAN Kementerian Sains dan Teknologi mengenai kenaikan elaun GRA (pembantu penyelidik siswazah) adalah tepat pada masanya. Ia sedikit sebanyak memberikan kelegaan dan semangat kepada para penyelidik siswazah untuk menjalankan kerja penyelidikan. Tambahan pula dengan keadaan wabak pandemik Covid-19 yang masih belum menunjukkan tanda-tanda pengurangan, banyak kerja penyelidikan sama ada di lapangan atau di makmal telah tergendala.
Ia sudah pasti memberikan kesan kepada kemajuan kerja penyelidikan yang sedang dijalankan. Secara tidak langsung, emosi dan psikologi mereka turut terganggu. Seperti yang dilaporkan, kenaikan elaun ini adalah kali pertama sejak 15 tahun dahulu! Ia adalah suatu tindakan yang proaktif dalam membela nasib GRA dan pegawai penyelidik selaras dengan keadaan ekonomi semasa.
Sebelum ini, siling elaun GRA ialah RM2,500 dan kini telah ditingkatkan kepada RM3,000 bagi ijazah Sarjana dan RM3,200 bagi ijazah kedoktoran. Jumlah elaun yang diterima adalah setimpal dengan jawatan sebagai seorang penyelidik.
Jika diteliti dari sudut tugas sebagai seorang pembantu penyelidik, ia bukanlah tugas yang mudah. Ia memerlukan individu yang kreatif, inovatif, analitikal, teliti dan boleh menjalankan kajian dengan sistematik bagi menghasilkan ilmu pengetahuan yang bermanfaat kepada masyarakat.
Jika di makmal, mereka terpaksa melakukan uji kaji berkali-kali sebelum mendapat keputusan yang memuaskan. Begitu jugalah jika kajian di lapangan, mereka terpaksa bersusah payah bagi mendapat data-data yang tepat dan terkini untuk di analisa. Ini semua memerlukan ketekunan dan kesabaran yang tinggi dan sewajarnya ia bersesuaian dengan elaun yang bakal mereka terima.
Selain itu, elaun yang ditawarkan adalah kompetitif jika dibandingkan dengan jawatan yang sedia ada di industri seperti pegawai sains, jurutera dan pegawai penyelidik. Secara tidak langsung, ia boleh menarik perhatian para graduan untuk meneruskan pengajian di peringkat pascasiswazah, sekali gus menyumbang kepada Pelan Pendidikan Malaysia 2015-2025 yang menyasarkan seramai 60,000 pemegang ijazah PhD menjelang 2023.
Walau bagaimanapun, kenaikan elaun ini hanyalah melibatkan dana penyelidikan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sahaja. Adalah menjadi harapan agar kenaikan elaun ini juga dapat direalisasikan bagi dana penyelidikan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi. Seperti yang sedia maklum, KPT juga menyediakan program-program serta dana penyelidikan yang boleh menggaji GRA.
Walau bagaimanapun, siling bagi GRA masih lagi terikat dengan RM2,500. Dengan itu, dicadangkan agar kenaikan siling ini juga dilaksanakan bagi program dan dana penyelidikan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi seperti program MyBrain15 yang menawarkan MyPHD dan MyMaster, geran penyelidikan seperti FRGS, TRGS, LRGS dan sebagainya.
Oleh itu, sudah tiba masanya skim GRA ini ditambah baik bagi kebajikan pembantu penyelidik dalam menghasilkan kajian yang berkualiti bagi manfaat komuniti.