Home Seni Hidup Saniah usung anak OKU demi cari sesuap nasi

Saniah usung anak OKU demi cari sesuap nasi

Saniah Taib, bersama anaknya yang OKU, Siti Nurasyikin Johari yang dibawa bersama untuk mencari rezeki di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 13 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Bukan setahun dua tetapi sudah lebih sedekad, Saniah Taib setia ‘mengusung’ anak perempuannya ke mana-mana termasuk ketika menemani suaminya sebagai penyanyi jalanan di ibu kota setiap hari.

Tanpa jemu atau putus asa, Saniah membawa Siti Nurasyikin Johar yang kini berusia 22 tahun yang tidak mampu berjalan  bersama-samanya mencari rezeki di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).

Rutinnya setiap hari kira-kira pukul 11 pagi membawa anak perempuannya yang hanya mampu terbaring kaku di kerusi roda dengan dibantu anak keduanya, Mohd Salman berusia 21 tahun dari  Chow Kit ke Jalan TAR.

Saniah Taib menolak kerusi roda anaknya, Siti Nurasyikin Johari, 22, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menemani suaminya membuat persembahan menyanyi di kaki lima di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 13 FEBRUARI 2021.

Alah bisa tegal biasa, Saniah mengaku tidak pernah rasa penat bersama Siti Nurasyikin.

Sementara itu, suaminya pula menjadi penyanyi jalanan di kawasan Chow Kit dan membawa bersama anak bongsu mereka yang berusia 14 tahun sebelum datang ke tempatnya di Jalan TAR.

Kata Saniah, Siti Nurasyikin tidak membesar seperti insan normal  akibat demam kuning yang dialaminya ketika bayi.

Satu-satunya anak perempuannya itu sehingga kini hanya terbaring kaku dan kerusi rodanya menjadi ‘katil bergerak’ baginya.

Anaknya itu juga masih memakai lampin dan meminum susu.

“Anak perempuan ini daripada lahir ada masalah urat saraf, jantung dan telinga. Dia kena sakit ini selepas demam kuning sejak bayi lagi.

Saniah Taib bersama kedua anaknya, Mohd Helman Johari, 21 (kiri) dan Siti Nurasyikin Johari, 22, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) membuat persiapan untuk ke lokasi persembahan bagi mencari rezeki di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 13 FEBRUARI 2021.

“Sebagai emak, saya memang kena bawa dia tiap hari tidak boleh tinggalkan. Sebab dia ada masalah jantung. Rawatan macam di hospital, kalau sesak nafas akan ke klinik dan klinik akan bagi surat ke hospital, tengok keadaannya.

“Tapi kalau masuk hospital Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak kena bayar sebab dia ada kad OKU (Orang Kurang Upaya),” katanya kepada MalaysiaGazette.

Seperti yang dihadapi orang lain, Saniah juga tidak lari daripada merasa perit kesan penularan pandemik Covid-19.

Malah lima beranak itu berhadapan dengan ‘kemuncak’ kesusahan apabila dihalau tuan rumah di Kampung Baru pada tahun lalu kerana tidak mampu membayar sewa ekoran tidak dapat menjalankan aktiviti busking sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Johari Mat Salleh, 49, bersama anak-anaknya membuat persembahan menyanyi di kaki lima untuk mencari rezeki di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 13 FEBRUARI 2021.

Namun, beliau tidak menyalahkan tuan rumah memandangkan penularan pandemik yang melanda menghalangnya mencari rezeki.

Saniah sekeluarga kemudiannya terpaksa menyewa bilik di rumah kedai kawasan Chow Kit di sini pada kadar sewa RM40 sehari.

Meskipun kehidupannya berhadapan dengan pelbagai ujian getir belum dikira terpaksa meredah hujan, panas mahupun guruh, Saniah tetap kental menghadapinya.

Apa juga keadaan cuaca tetap diredahnya dari Chow Kit ke Jalan TAR supaya rezeki mereka sekeluarga tidak putus dan tidak mahu seorang pun daripada anaknya berlapar.

Reaksi Saniah Taib bersama seorang anaknya, Siti Nurasyikin Johari yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) bersama menemani untuk mencari rezeki di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 13 FEBRUARI 2021.

Apatah lagi Siti Nurasyikin yang memerlukan belanja agak besar kerana masih perlu memakai lampin dan minum susu.

“Ini semua (menyanyi jalanan) untuk beri anak-anak makan. Saya sudah biasa jalan kaki hari-hari cari rezeki. Memang pahit manis susah semua ada kita langgar sahaja untuk bagi anak-anak makan.

“Ini pun saya langgar sahaja ada orang atau tidak saya redah. Kalau tidak siapa yang bagi anak-anak makan?” soalnya.

 

Walaupun menuturkan kata-kata semangat namun jelas kelihatan Saniah cuba menahan air mata.

Menurutnya, setiap hari mereka sekeluarga hanya akan meraih lebih kurang RM100 hasil menjadi penyanyi jalanan di Jalan TAR.

Wang itu kemudian dicatu untuk membayar sewa bilik harian manakala selebihnya pula untuk membeli lampin dan susu Siti Nurasyikin selain makanan harian mereka sekeluarga.

Akibat tidak cukup wang, katanya, setiap hari mereka akan mengambil makanan yang diagihkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) di ibu kota.

“Kadang nak bayar sewa bilik pun tidak lepas. Ini pun saya redah sahaja pergi cari, ada orang atau tidak, janji dapat duit beli makanan, lampin anak, bayar sewa bilik. Kadang tidak cukup saya bayar sewa RM20 sahaja. Nasib tokey (penyewa bilik) faham,” katanya.

Apa pun, hidup dalam serba kekurangan ternyata tidak menghalang Saniah untuk bersyukur, apatah mempunyai dua anak lelakinya sentiasa memahami kedaifan mereka sekeluarga.

Katanya, tidak pernah sekalipun kedua-dua anak lelakinya merungut terpaksa mencari rezeki pada usia mereka yang masih muda.

“Mereka pernah belapar, saya cakap kepada anak tidak apa, makan apa ada yang kita ada. Anak sanggup jual telefon sendiri, sebab nak beli susu Siti Nurasyikin.

“Anak kata yang penting susu kakak. Kalau dapat duit, mereka beri kepada saya dan cakap ‘mak, ini untuk susu dan lampin kakak’. Mereka faham,” ujarnya.

Suaminya pula, menurut Saniah tidak mampu melakukan kerja lain selepas kudratnya tidak lagi kuat seperti dahulu akibat kemalangan beberapa tahun lalu.

Saniah Taib. Foto SYAFIQ AMBAK, 13 FEBRUARI 2021.

Justeru kerana itulah, wanita itu menguatkan dirinya meskipun dirinya sendiri tidak terdaya.

Beliau tidak mahu menjadi seorang ibu dan isteri yang lemah kerana dia menjadi ‘tulang belakang’ keluarganya untuk meneruskan hidup.

“Saya kena pantas, kena kuat demi anak-anak demi suami saya. Sebab dia pun tidak sihat. Saya kata “sebab apa mak kena kuat, mak kena semangat, untuk kamu semua. Kalau mak tak kuat, habis tidak boleh buat apa, tidak makanlah,” katanya lagi.-MalaysiaGazette