Home Nasional 500 keluarga PPR Beringin terima sumbangan YPKPJM

500 keluarga PPR Beringin terima sumbangan YPKPJM

Ketua Kumpulan Pegawai Strategi Seluruh Cawangan Jakel, Mohd Fuad Ahmad (tengah), Pengarah Eksekutif, Dato' Sri Sharizal Sarip (tiga kanan) bergambar bersama Kebajikan M.A.M Bersatu pada Program Penyampaian Sumbangan Kepada 500 Keluarga Penduduk PPR di PPR Taman Beringin, Jinjang. Foto SHAFIY ZUL, 14 FEBRUARI 2021

KUALA LUMPUR – Sebanyak 500 keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin Jinjang menarik nafas lega apabila mendapat sumbangan berikutan penularan Covid-19.

Bantuan bernilai lebih RM50,000 yang disalurkan kepada mereka merupakan inisiatif Yayasan Pelindung dan Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia (YPKPJM) bersama-sama Jakel Trading Sdn Bhd, MAMEE Malaysia, Eko Indrajaya Trading, Kabjikan M.A.M Bersatu, Komuniti Hab PPR Beringin serta persatuan penduduk.

Timbalan Setiausaha YPKPJM, Datuk Seri Shahrizal Sarip berkata, pihaknya terpanggil untuk menyampaikan sumbangan berbentuk makanan dan keperluan kepada 500 buah keluarga hari ini kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Ramai sebenarnya memerlukan bantuan, dalam mana-mana situasi sekalipun pasti ada yang terjejas dan terkesan. Antara yang kita lihat termasuklah di laman media sosial yang menceritakan kesukaran hidup.

“Ada keluarga yang terpaksa mencatu makanan kerana begitu takut kehabisan makanan lebih-lebih lagi jika ada antara mereka ini tidak ada pekerjaan atau sudah kehilangan punca pendapatan dan sebagainya.

“Dalam menghadapi pandemik ini, pelbagai cabaran terpaksa mereka hadapi. Bayangkan ada kala terpaksa pula buat keputusan untuk beli makanan, atau masak ala kadar kerana wang cukup untuk membeli pelitup muka serta sanitiser yang juga satu keperluan ketika ini.

“Ambil kira semua ini, kita di YPKPJM serta pihak berwajib lain tampil memberi bantuan dalam pelbagai cara untuk meringankan golongan ini. Yang penting jika kita bekerjasama ringanlah beban mereka-mereka ini,” katanya kepada pemberita.

Penduduk PPR Taman Beringin, Osman Bin Majid, 73, menerima sumbangan barangan pada Program Penyampaian Sumbangan Kepada 500 Keluarga Penduduk PPR di PPR Taman Beringin, Jinjang. Foto SHAFIY ZUL, 14 FEBRUARI 2021

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada 500 keluarga terdiri daripada golongan B40, orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan asnaf.

Selain itu sumbangan 100 pek makanan kepada petugas barisan hadapan yang bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR) sekitar Kepong turut dilakukan pada hari ini.

Hadir pada majlis Presiden YPKPJM, Datuk Tun Hisham Safiee dan Ketua Pegawai Strategi Jakel Group, Mohd Fuad Ahmad.

Ketua Pemasaran Jakel Trading, Azlan Abu Bakar memberikan bantuan barangan kepada Isvari Suppiah,53, pada Program Penyampaian Sumbangan Kepada 500 Keluarga Penduduk PPR di PPR Taman Beringin, Jinjang. Foto SHAFIY ZUL, 14 FEBRUARI 2021

Menurut Shahrizal, pihaknya akan terus menghulurkan bantuan serta perkhidmatan lain dengan kerjasama pihak-pihak berwajib dari masa ke semasa bagi meringankan bebanan kerajaan.

“Kita semua susah kerana ini musim pandemik, kita tolong kita. Apa yang boleh kita tolong antara satu sama lain.

“Kepada semua pihak yang tampil membantu, terima kasih banyak. Kepada yang hendak membantu boleh juga hubungi kita di talian 018-2127999 bagi menruskan inisiatif kita,” ujarnya. -MalaysiaGazette