KUALA LUMPUR – Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang memperkenal saluran khusus TV Pendidikan menunjukkan kerajaan tetap mementingkan masa depan pelajar meskipun negara berdepan pandemik Covid-19.
Ketua Badan Pimpinan Negeri, Wilayah Persekutuan (BPNWP) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya berkata, saluran DidikTV yang dibangunkan adalah usaha berterusan dalam memberikan akses pendidikan berkualiti kepada murid-murid sekolah di negara ini.
Katanya, saluran itu merupakan kaedah terkini sebagai memudah cara golongan ibu bapa yang sebelum ini terpaksa menyediakan peralatan kepada anak masing-masing untuk mengikut Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).
“Kerajaan mendengar keluh kesah yang dihadapi oleh rakyat dalam hal pembelajaran kepada anak-anak mereka dan inisiatif telah diambil oleh KPM dengan mewujudkan saluran khusus TV Pendidikan itu.
“Melalui langkah tersebut, ibu bapa yang kurang berkemampuan tidak perlu risau kerana pendidikan kepada anak-anak mereka boleh diterima secara langsung di rumah.
“Mereka juga boleh menyaksikan pembelajaran yang dibuat dengan selesa tidak seperti kaedah penggunaan gajet seperti telefon yang kecil sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Suhaimi berkata, komitmen yang diberikan oleh kerajaan menerusi KPM berhubung perkara tersebut jelas membuktikan bahawa sistem pendidikan tidak boleh terhenti meskipun negara berdepan situasi sukar ketika ini.
Ujarnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik demi rakyat dan usaha tersebut wajar disokong semua pihak.
Kelmarin, KPM mengumumkan pengenalan saluran TV Pendidikan yang akan memulakan siaran pertamanya pada 17 Februari ini.
Saluran tersebut akan bersiaran bermula pukul 7 pagi hingga pukul 12 tengah malam setiap hari.
Saluran itu akan dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari pertama siarannya pukul 8 pagi.
Sebelum ini, KPM telah menyediakan program TV Pendidikan selama 11 jam melalui TV Okey RTM, Tutor TV ASTRO, dan DidikTV@ntv7.
Kini, buat pertama kalinya KPM memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan secara terestrial dengan pengisian dari 7 pagi sehingga 12 tengah malam. – MalaysiaGazette